25 Ogos 2010

Kodu Game Lab

Oleh Hazwan Faisal Mohamad-Berita Harian 2010/08/25

MICROSOFT Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran memperkenalkan kaedah baru sistem pendidikan menerusi penghasilan permainan komputer dilengkapi perisian pendidikan berkesan. Perisian ‘Kodu Game Lab’ itu adalah yang pertama dicipta di dunia dan Malaysia bersama Singapura dan Australia menjadi negara pertama mencubanya, ia membolehkan pelajar mencipta permainan komputer sendiri mengikut kreativiti masing-masing. Pengarah Pelajaran Microsoft Malaysia, Farad Alhusaini, berkata program yang dilancarkan sebulan lalu membabitkan tujuh sekolah terpilih iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Maluri, SMK USJ 12, SMK Kalumpang, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Harcroft dan SJK(C) Chiao Nan.

“Walaupun baru dilancarkan, maklum balas yang diterima sungguh menggalakkan. Kami perlu melaksanakan proses penapisan bagi memilih mereka yang layak.

“Perisian mudah digunakan dan diberikan percuma kepada pelajar dan boleh juga dimuat turun menerusi internet menerusi program yang dilaksanakan di sekolah,” katanya pada sidang media pengenalan perisian pendidikan di SMK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas Pertandingan Kodu Kup 2010 yang julung kali dianjurkan, Farad berkata, acara ini pastinya menjadi medan menguji kemampuan peserta dalam mencipta permainan menggunakan perisian itu. Hasil kreativiti mereka dinilai berdasarkan inovasi, keseronokan, kualiti produk dan persembahan peserta.

Pertandingan sebulan berakhir Jumaat lalu, kata beliau, terbuka kepada peserta berusia sembilan hingga 15 tahun.

“Melalui pertandingan itu, diharapkan dapat melahirkan ramai pereka permainan tempatan pada masa depan dalam industri bernilai berbilion ringgit ini,” katanya. Pelajar Tingkatan Dua SMK Taman Bukit Maluri, Sarvesh Seger, berkata pada mulanya, 200 murid bersemangat menyertai program ini, namun hanya 64 terpilih apabila guru menguji kemahiran menggunakan komputer sebelum memilih mereka yang layak.

“Saya berbangga kerana terpilih dan peluang mengikuti program dan mendapat banyak pengalaman daripadanya. Pada bengkel tiga hari yang diadakan di sekolah, kami diajar cara mencipta permainan komputer menggunakan perisian ini.

“Ternyata aktiviti ini mudah dikendalikan. Proses mencipta permainan yang ringkas hanya mengambil masa beberapa minit. Kepuasan terasa apabila melihat rakan atau adik beradik bermain permainan ciptaan saya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan