06 Julai 2011

Karisma Guru


Assalamulaikum dan Salam Hormat untuk kalian semua. Apa khabar kalian semua, semestinya kita mengharapkan sesuatu yang lebih luar biasa bagus dari sebelum ini. Kali ini mari kita berkongsi tentang "karisma guru".

Apakah yang dimaksudkan dengan karisma itu?. Karisma ialah salah satu ciri kepimpinan yang ada pada seseorang itu. Karisma juga boleh dikaitkan sebagai seorang yang memiliki kuasa penarik yang luar biasa, sehinggakan setiap perilaku, cerita dan arahannya mudah untuk mempengaruhi seseorang atau para pengikutnya. Alangkah bagusnya jika kita punyai karisma ini. Dan begitu juga yang diharapkan kepada para pemimpin.

Senario seterusnya dalam konteks di sekolah ada pemimpin yang berkarisma dan ada pula tidak berkarisma. Jika seseorang pemimpin sekolah itu berkarisma sudah pasti dia mempunyai kuasa peribadi yang sangat berharga. Dengan kuasa karisma yang ada pada dirinya, dia sebenarnya mampu mendorong dan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku para pengikutnya.

Pemimpin yang berkarisma ini dengan hanya melihat wajahnya, penampilannya, suaranya dan gerak gerinya sudah mampu mempengaruhi orang di sekitarnya. Dengan kelebihan yang ada pada dirinya ini, mudah bagi pemimpin tersebut merealisasikan misi, visi, dan segala perancangannya secara menyeluruh dengan mendapat sokongan padu dari kalangan para pengikutnya.

Bagaimana pandangan kalian, adakah kuasa karisma ini lahir secara semulajadi atau faktor genetik. Sebenarnya kuasa karisma ini bukanlah anugerah pemberian tuhan secara langsung terhadap seseorang pemimpin itu khususnya, tetapi adalah sesuatu yang boleh diperolehi dan dipertingkatkan. Antaranya menerusi kepakaran, ketulusan dan imej.

Kepakaran berkait rapat dengan kuasa karisma! Mengapa?. Jawabnya begini, untuk anda menjadi seorang yang berkarisma, anda perlulah mempunyai ilmu yang luas dan ini sebenarnya anda sedang menuju ke arah seorang yang pakar kepada pakar.

Seterusnya ketulusan, bagaimana ketulusan membolehkan sesorang pemimpin atau guru itu berkarisma. Sebenarnya ketulusan memang dituntut untuk semua yang bergelar guru, dengan ketulusan yang ditunjukan seseorang guru itu lebih dihormati, disegani dan dihargai oleh rakan-rakan dan murid-muridnya. Apa jadi jikalau seseorang guru itu tidak telus. Sudah pasti guru tersebut sukar untuk bergaul, berkomunikasi dan mengajar pada anak muridnya.

Dan yang akhir ialah imej. Imej sangat penting untuk memupuk kuasa karisma pada seseorang pemimpin atau guru. Cara berpakaian yang betul, kemas, bijak memadankan warna pakaian, stail rambut, dan percakapan sangat mempengaruhi kuasa karisma. Apa jadi jika guru berkenaan berpakaian lusuh, koyak rabak, pemadanan warna yang teruk dan sebagainya. Sudah pasti rakan-rakan dan anak murid memberi pelbagai persepsi yang negatif. Berusahalah untuk memperbaiki dan mempertingkatkan imej diri masing-masing agar guru atau pemimpin itu mempunyai kuasa karisma. Wasalam

Ditulis oleh
Cikgu Sharif Putra
SK Jambongan

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan