Murid prasekolah naik 87% pada 2012
OlehMUZDALIFAH MUSTAPHApengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan menyasarkan peningkatan 87 peratus pendaftaran kanak-kanak prasekolah kepada 447,556 murid pada 2012 berbanding 342,706 murid pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah meningkatkan jumlah kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah itu merupakan usaha menjadikan sistem pendidikan negara terus relevan.
Menurutnya, pada masa sama, ia bagi mencapai matlamat menjadikan prasekolah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.
“Pertambahan 104,850 murid itu adalah penyertaan kanak-kanak kohort berusia lima tahun yang mengikuti pembelajaran prasekolah kerajaan dan swasta,” katanya menjawab soalan Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya memantapkan kemahiran berbahasa serta pembentukan sahsiah positif di kalangan kanak-kanak prasekolah mengikut kurikulum yang dikuatkuasakan sejak 2003 sama ada di sekolah kerajaan mahu pun swasta.
Katanya, kurikulum prasekolah sedia ada akan ditambah baik termasuk cadangan memanjangkan 50 peratus tempoh interaksi dalam bahasa Inggeris.
Menurutnya, 4,194 kelas prasekolah baru pula akan dibina menjelang 2012 selain menggalakkan penyertaan pihak swasta melalui cadangan pemberian insentif.
Tambah beliau, kementerian juga memberi latihan kepada guru prasekolah kerajaan dan swasta melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme.
“Penyeliaan serta pemantauan bagi memastikan kualiti pendidikan prasekolah dijalankan dari semasa ke semasa.
“Bukan itu sahaja, pelbagai program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan ibu bapa terutama di luar bandar serta yang berpendapatan rendah akan dijalankan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Abd. Rahman mengenai masalah murid-murid normal yang keciciran membaca, menulis dan mengira (3M), Muhyiddin berkata, beliau yang menyedari perkara itu.
Menurutnya, masalah tersebut berlaku ekoran perbezaan kawasan pendidikan seperti di dalam dan luar bandar.
Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan mengambil inisiatif menyediakan peruntukan RM48 juta melalui Bajet 2010 bagi memperbaiki kelemahan aspek keperluan, kemudahan dan latihan yang tidak mencukupi itu.
Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Muhyiddin berkata, program Permata di seluruh negara telah menunjukkan prestasi cemerlang dan kementerian bercadang mengembangkannya.
Sekolah satu aliran tidak mustahil dilaksanakan
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Cadangan penubuhan sekolah satu aliran tidak mustahil dilaksanakan jika semua pihak melupakan kepentingan politik demi perpaduan negara.
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata, beliau menyokong cadangan itu tetapi menyifatkan pelaksanaannya amat sukar kerana banyak pihak masih mempertahankan kepentingan sendiri.
Setakat ini, katanya, terdapat banyak pandangan berbeza disuarakan yang menggambarkan cadangan itu sukar dilaksanakan kerana masih terdapat ramai pihak yang menentang.
''Semua pihak menyokong idea 1Malaysia tetapi tidak mahu menerima cadangan ini untuk menjaga kepentingan politik mereka agar terus mendapat sokongan daripada kaum masing-masing.
''Bagaimanapun, ia bukanlah satu yang mustahil jika masyarakat sanggup melupakan kepentingan politik dan ingin berubah demi perpaduan negara,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Bengkel Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini hari ini.
Program tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dengan disertai seramai 52 pelajar cemerlang dari tujuh buah sekolah di sekitar Cheras.
Sementara itu bercakap mengenai program tersebut, Syed Ali berkata, Program Bengkel Kecemerlangan SPM 2009 ini dapat meningkatkan pengetahuan dan semangat pelajar untuk menduduki peperiksaan tersebut.
''YPC berjanji akan memberi insentif RM1,000 kepada setiap seorang pelajar sekolah di kawasan Cheras yang mendapat keseluruhan A dalam SPM nanti.
''Ini adalah suntikan semangat kepada mereka untuk lebih bersungguh-sungguh dan berkeyakinan menghadapi peperiksaan itu,'' katanya.
Transformasi pendidikan: mampukah ia dijayakan?
Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
SEPERTI yang diumumkan usaha melaksanakan transformasi kurikulum dan pentaksiran telah bermula secara rintis bermula di peringkat prasekolah dan Tahun Satu di sekolah yang sama. Sebanyak 50 buah sekolah terlibat pada tahun 2008 dan 500 buah lagi dijangka terlibat dalam tahun 2009. Ujian rintis bagi tingkatan satu pula dijangka bermula pada tahun 2010. Sekiranya tidak terdapat sebarang masalah yang rumit, mungkin ia akan dilaksanakan di prasekolah dan tahun satu pada tahun 2010 dan tingkatan satu pada tahun 2012.
Boleh dikatakan proses ransformasi ini agak kompleks kerana ia melibatkan dua bahagian yang paling penting dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), iaitu Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Bagi memastikan kejayaannya, mahu tidak mahu, kedua-dua bahagian ini perlu berkerja sama secara erat dan efektif. Keduanya juga perlu jujur dengan dapatan masing-masing bagi memastikan rumusan yang terbaik dapat dibuat bagi menjamin masa depan anak-anak kita di sekolah.
Dari segi konsep, difahamkan bahawa transformasi kurikulum melibatkan aspek pengkajian semula kurikulum agar seimbang, bersifat holistik dan tidak terlalu akademik atau membebankan. Konsepnya masih berlandaskan prinsip-prinsip Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bentuk kurikulum ini dibahagikan kepada Enam Tunjang Pembelajaran, iaitu aspek komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, literasi sains dan teknologi, fizikal dan estetika serta ketrampilan diri.
Difahamkan juga akan terdapat sedikit perbezaan dari segi susunan kandungan kurikulum pada setiap tahap pembelajaran. Bagaimanapun perbezaan yang paling ketara adalah dari aspek organisasi kurikulum. Dalam KBSR, misalnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) diasaskan kepada hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian SP manakala dalam transformasi, ia akan dilaksanakan berasaskan standard kandungan (perkara yang murid patut ketahui) dan standard pembelajaran (satu penetapan kriteria yang perlu dicapai oleh murid). Kurikulum di sekolah akan disusun dalam bentuk yang modular dan mungkin melibatkan penyusunan semula jadual waktu di sekolah.
Begitupun transformasi kurikulum ini tidak akan berjaya jika ia berjalan secara sendirian. Oleh kerana ia akan dilaksanakan berdasarkan standard kandungan (standard based), bukan lagi secara berdasarkan hasil (outcome based), maka elemen yang amat penting untuk dilaksanakan serentak adalah pentaksiran.
Hanya melalui kaedah pentaksiran yang baik, guru dapat menentukan tahap penguasaan murid terhadap modul-modul yang telah dilaksanakan. Kemahiran guru diperlukan untuk mengenal pasti murid yang bermasalah dan kesabaran guru diperlukan untuk memastikan murid ini tidak ketinggalan berbanding murid-murid yang lebih maju di dalam kelas dan berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang disampaikan. Bagi memastikan ini dapat dilaksanakan dengan baik, KPM perlu memberikan tumpuan terhadap usaha melatih semula guru-guru dan mempersiapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran baru yang diperlukan.
Bahan sokongan seperti bahan multimedia, buku panduan guru dan buku aktiviti yang sesuai perlu disediakan. Ia melibatkan implikasi perjawatan bagi memastikan pembangunan dan pelaksanaan transformasi ini dapat terlaksana mengikut tempoh dirancang selain implikasi kewangan untuk mengadakan penanda arasan, pembinaan bahan, uji rintis, kajian semula geran per kapita PCG) dan latihan guru.
Akhir sekali, pengalaman dan kelemahan pelaksanaan dasar-dasar yang besar sebelum ini seperti KBSR, Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) serta program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar transformasi ini beroleh kejayaan di masa hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan