PERATURAN TETAP GURU
Kehadiran Bertugas:
1. Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/81 yang bertarikh 12 September 1981 menyebut bahawa semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kakitangan sekolah dan para pelajar dikehendaki berada di sekolah sekurang-kurangnya lima minit sebelum sekolah bermula. Bagaimanapun, guru bertugas harian perlu hadir di sekolah kira-kira pukul 7.00 pagi.
2. Adalah menjadi tanggungjawab para guru untuk mengamalkan ketepatan masa itu sepanjang waktu bertugas di sekolah, semasa datang dan balik dari sekolah, ketika memasuki bilik darjah untuk mengajar dan masa menjalankan sesuatu kegiatan di luar bilik darjah.
3. Ketepatan masa juga bermakna seseorang guru hendaklah mengikut jadual pengajaran dan tidak dibenarkan meninggalkan kelasnya atau pun kawasan sekolah.
4. Peraturan ketepatan masa dikenakan kepada semua guru, kakitangan dan para pelajar.
Kepatuhan Tugas:
1. Semua guru dan kakitangan hendaklah menandatangani buku kedatangan sebaik sahaja tiba di sekolah dengan mencatatkan nama, masa sampai dan menurunkan tanda tangan.
2. Guru dan kakitangan tidak dibenar meninggalkan kawasan sekolah dengan tidak mendapat keizinan Guru Besar terlebih dahulu.
3. Mereka yang datang lewat hendaklah berjumpa dengan Guru Besar dengan memberi sebab musabab kelewatan itu.
4. Sekiranya tidak dapat menghadirkan diri di sekolah kerana kecemasan atau jatuh sakit dan kemalangan, mereka perlu menghubungi pihak sekolah. Mereka juga dikehendaki mengemukakan sijil sakit kepada Guru Besar apabila kembali bertugas semula.
5. Guru-guru tidak dibenarkan meninggalkan bilik darjah semasa mengajar kecuali dengan mendapat kebenaran daripada Guru Besar terlebih dahulu.
6. Kehadiran semua guru adalah wajib semasa kegiatan dan upacara rasmi sekolah seperti Hari Sukan Tahunan, Hari Penyampaian Hadiah, Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru untuk mengawasi para pelajar, melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan di samping memberi sumbangan bakti dan bantuan yang diperlukan bagi menjayakan upacara tersebut.
7. Para guru yang telah ditetapkan untuk mengawasi kegiatan ko-kurikulum, mesti menghadirkan diri. Sebarang kesulitan yang berbangkit disebabkan oleh ketiadaan guru pengawas adalah tanggungjawab guru itu sendiri.
Tugas Akademik Guru:
1. Guru hendaklah menunjukkan sikap profesional dan budaya kerja yang bermutu tinggi.
2. Kerja rumah hendaklah diberikan kepada pelajar berdasarkan garis panduan yang diberikan oleh Guru Besar atau guru kanan masing-masing. Semua kerja rumah hendaklah diperiksa dengan teliti.
3. Ketua jabatan atau guru kanan mata pelajaran diberi kuasa untuk menyemak dan menentukan bahawa buku rampaian, buku kerja dan lain-lain latihan diperiksa dengan penuh teliti.
4. Pemeriksaan buku tidak boleh dilakukan semasa mengajar di dalam kelas kecuali guru itu mengawasi kerja pelajar di meja pelajar itu sendiri.
5. Guru yang ditugaskan sebagai guru ganti hendaklah mengisi waktu itu dengan pelajaran yang difikirkan perlu dan ini merupakan juga tugas rasmi guru itu. Pengajaran itu mesti diisikan dengan kerja-kerja yang memberi faedah kepada pelajar.
6. Biasanya guru mempunyai waktu untuk mengajar sebagaimana yang ditetapkan dalam jadual waktu masing-masing. Waktu tidak mengajar, terluang/rehat di sekolah adalah dikira masa bekerja. Guru Besar boleh mengarahkan guru-guru menggunakan masa itu untuk menggantikan guru yang tidak hadir.
7. Mereka perlu membuat persediaan mengajar seperti membaca buku tambahan, menulis buku ringkasan mengajar, menyediakan alat bantuan mengajar dan memeriksa buku latihan pelajar.
8. Mereka juga boleh mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah. Mereka juga boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dan lain-lain tugas yang difikirkan perlu atau diarahkan oleh pihak sekolah.
Buku Ringkasan Mengajar:
1. Kementerian Pendidikan telah menetapkan peraturan mengenai pengisian Buku Rekod Mengajar. Peraturan ini hendaklah dipatuhi dan dilaksanakan dengan sepenuhnya.
2. Dalam Buku Rekod Mengajar itu mesti mengandungi salinan jadual waktu persendirian termasuk analisisnya, salinan sukatan pelajaran, salinan kertas soalan peperiksaan dan keputusan peperiksaan bagi tiap-tiap kelas yang diajar oleh guru itu.
3. Pada tiap-tiap hari hujung minggu, Buku Rekod Mengajar yang telah siap diisi untuk minggu berikutnya hendaklah diserahkan kepada Guru Besar. Buku Rekod Mengajar adalah menjadi hak milik sekolah dan perlu diserahkan ke pejabat apabila guru itu bertukar, bercuti panjang dan juga pada akhir tahun sekiranya Guru Besar memerlukan agar dia berbuat demikian.
Perhubungan Guru Dengan Pelajar:
1. Guru perlu mempunyai hubungan mesra dengan semua pelajar dan sentiasa bermuka manis. Mereka perlu memahami masalah pelajar.
2. Disiplin pelajar adalah menjadi tanggungjawab semua guru. Tindakan segera perlulah diambil terhadap sebarang pelanggaran disiplin yang dilakukan oleh pelajar. Kes-kes pelanggaran disiplin yang serius hendaklah dilaporkan kepada Guru Besar atau guru disiplin.
3. Tiap-tiap guru adalah bertanggungjawab untuk memelihara dan mengekalkan disiplin. Kesalahan yang berat sahaja hendaklah dilaporkan kepada Guru Besar untuk mendapat keputusan bagi pelaksanaan yang berkesan.
4. Perkara-perkara tatatertib yang dianggap berat adalah seperti menganggotai pertubuhan haram, membawa senjata merbahaya dengan tujuan jahat, memukul guru, mengancam keselamatan orang lain serta melanggar peraturan sekolah. Pelajar juga dilarang menulis kepada akhbar tanpa memberitahu pihak sekolah, merosakkan harta sendiri, guru, pelajar, dan sekolah, mencuri, menghisap rokok dan mengambil dadah, berjudi, meminum minuman keras dalam kawasan sekolah, membantah hukuman guru, bersifat bongkak dan menghina guru atau Guru Besar.
5. Guru yang mengajar dalam kelas hendaklah mengawal disiplin pelajar-pelajarnya.
6. Para guru hendaklah menunjukkan teladan, sikap dan perwatakan yang sesuai untuk dihormati dan dipandang tinggi oleh pelajar.
7. Jika terdapat pelajarnya yang sakit atau ditimpa kemalangan, guru tersebut hendaklah melaporkannya kepada guru bertugas harian atau penolong kanan dengan segera.
Pakaian:
1. Guru hendaklah kelihatan kemas dengan memakai pakaian yang sesuai semasa bertugas di sekolah.
2. Mereka tidak dibenarkan memakai selipar dan baju T walaupun pada waktu petang semasa berada di sekolah.
3. Pakaian formal mesti dipakai semasa upacara rasmi sekolah.
Potongan Rambut
1. Potongan rambut tidak boleh melebihi kolar baju bagi guru lelaki. Rambut perlu diurus dan kelihatan kemas.
Pelawat:
1. Jangan benarkan pelawat termasuk jurujual berjumpa dengan pelajar di dalam bilik darjah atau makmal.
2. Pelawat atau jurujual hanya boleh berjumpa dengan guru sekiranya mereka mendapat kebenaran daripada Guru Besar terlebih dulu.
3. Perbincangan antara pelajar dan guru dengan pelawat atau jurujual hanya boleh dibuat di dalam bilik guru sahaja.
Kenyataan Akhbar:
1. Guru adalah dilarang daripada membuat kenyataan akhbar walaupun bertindak atas nama Guru Besar atau pihak sekolah.
Surat Rasmi:
1. Semua surat rasmi yang hendak dihantar keluar dari sekolah sama ada dari guru atau dari persatuan dan kelas hendaklah dikirim melalui Guru Besar.
Lawatan:
1. Sebarang lawatan yang dilakukan oleh persatuan dan kelab hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Guru Besar dan Jabatan Pendidikan Negeri.
2. Untuk lawatan ke luar negeri, borang permohonan hendaklah dikirim ke Jabatan Pendidikan Negeri melalui Guru Besar. Surat itu mesti dikirim sekurang-kurangnya lima minggu sebelum lawatan dilakukan.
Kutipan Wang:
1. Guru penasihat yang dilantik untuk mengawas perjalanan persatuan dan kelab perlu mengawasi hal ini.
2. Mereka perlu menentukan bahawa wang yang dipungut itu tidak disalahgunakan oleh persatuan dan kelab.
3. Pembukaan akaun bank adalah perlu jika wang yang berkenaan itu dianggap besar jumlahnya.
TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB GURU KELAS
Bidang Tugas:
1. Merekod dan mengemaskini butiran peribadi pelajar ke dalam buku jadual kedatangan, buku rekod mengajar, kad 001, kad 002 dan buku kemasukan sekolah.
2. Buku jadual kedatangan para pelajar hendaklah ditanda pada waktu yang pertama pada setiap hari belajar.
3. Memastikan pelajar membawa surat daripada ibu bapa penjaga atau surat doktor sekiranya mereka tidak dapat menghadirkan diri di sekolah.
4. Bagi pelajar yang tidak hadir selama tiga hari berturut-turut dengan tiada memberi penjelasan dan sebab yang munasabah, guru darjah hendaklah mengirimkan surat amaran ponteng sekolah kepada penjaganya dengan satu salinan ke pejabat sekolah.
5. Sekiranya pelajar tidak hadir selama sebulan, namanya dikeluarkan dari buku jadual kedatangan. Kes-kes ini hendaklah dirujukkan kepada PK HEM terlebih dahulu.
6. Menjalankan pengurusan bilik darjah seperti pemilihan ketua darjah mengikut suara ramai dalam kelas, membuat giliran bertugas, giliran kebersihan, alat tulis, perhiasan kelas, kerusi meja berada dalam keadaan teratur dan menguruskan pertukaran pelajar.
7. Memungut yuran-yuran khas, yuran peperiksaan, sukan dan permainan dan mengeluarkan resit kepada pelajar dan merekodkannya ke dalam buku jadual kedatangan dan buku yuran.
8. Menyerahkan kira-kira pungutan yuran pada masa yang ditetapkan pihak sekolah.
9. Menguruskan pengagihan dan pemulangan Skim Pinjaman Buku Teks kepada pelajar dan memungut buku daripada pelajar yang hendak bertukar ke sekolah lain.
10. Membantu Guru Besar dalam pengurusan biasiswa, mengirim surat-surat jemputan kepada ibu bapa, sijil berhenti sekolah dan surat akuan.
11. Mengisi butiran semua ujian dengan lengkap untuk dikaji dan dianalisis.
12. Mengambil, menyalin dan menyemak jadual waktu kelas masing-masing dan memberitahu pelajar.
13. Bertanggungjawab terhadap disiplin pelajar dalam kelasnya dan menanam semangat rajin, tekun, dedikasi, berusaha dan kesedaran sivik.
14. Melaporkan kes-kes yang tidak dapat diselesaikan oleh guru kepada guru PK HEM seperti ketidakhadiran, ponteng yang berulang, kesulitan memungut yuran dan masalah disiplin lain.
15. Merekodkan butiran peribadi yang lengkap mengenai kemasukan pelajar baru dan mereka yang berhenti dalam Jadual Kedatangan, Buku Rekod Mengajar dan Buku Daftar Kemasukan Pelajar.
16. Bagi kelas-kelas peperiksaan adalah penting baginya untuk mengisi borang masuk peperiksaan. Mereka juga perlu memungut yuran peperiksaan dan membantu menyusun kerusi meja.
17. Mengisi butiran kemajuan akademik pelajar ke dalam Buku Kemajuan di samping menyediakan tabung markah atau mark sheet.
18. Bertanggungjawab terhadap keselamatan perabot dan kebersihan kelasnya.
19. Menyediakan senarai tugas bagi pelajar dalam kelasnya untuk tugas pembersihan kelas pada tiap-tiap hari persekolahan.
20. Berada di samping pelajarnya semasa pelajar beratur di kaki lima kelas dan pada masa perhimpunan hari biasa.
21. Memastikan papan kenyataan kelas ditampalkan dengan makalah-makalah, maklumat dan berita-berita yang positif, membina dan terkini.
22. Dalam tiap-tiap peperiksaan sekolah, guru mata pelajaran harus memberi markah kepada guru-guru kelas untuk meringankan beban tugas guru.
TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB GURU DISIPLIN
Bidang Tugas:
1. Pilih pengawas pada setiap hujung tahun untuk bertugas pada tahun berikutnya.
2. Menentukan pemilihan pengawas adalah berdasarkan pencapaian dalam bidang akademik, kebolehan dan kemampuan pelajar dalam bidang sukan dan permainan.
3. Memastikan perlantikan para pengawas adalah berdasarkan pengalaman, sahsiah, daya kepimpinan dengan mengambil kira pandangan dan sokongan para guru. Pemilihan akhir dilakukan oleh para pelajar dengan cara undi, jikalau didapati sesuai dan boleh dilaksanakan setelah dipersetujui oleh pihak guru.
4. Pemilihan calon dilakukan oleh guru-guru sendiri dan tidak dicalonkan oleh pelajar.
5. Menentukan Ketua dan Penolong Ketua Pengawas dilantik oleh guru penasihat lembaga pengawas dengan nasihat guru-guru lain.
6. Mengaturkan mesyuarat lembaga pengawas yang diadakan dari semasa ke semasa di sekolah.
7. Mengawasi disiplin dan akhlak para pelajar di sekolah sepanjang hari persekolahan.
8. Menerima laporan daripada para pengawas dan mengambil segala langkah dan tindakan yang sesuai.
9. Menentukan segala peraturan dan undang-undang sekolah sentiasa dipatuhi oleh para pelajar sekolah.
10. Mempamerkan peraturan dan undang-undang sekolah di papan-papan kenyataan dan di dalam bilik darjah.
11. Membantu Guru Besar dalam mengesan dan mengesahkan kesalahan-kesalahan besar yang dilakukan oleh pelajar yang boleh membawa kepada penggantungan sementara atau pembuangan sekolah.
12. Merekodkan segala kesalahan, hukuman dan denda yang dijatuhkan kepada pelajar di sekolahnya.
13. Berhubung rapat dengan guru bimbingan / kaunseling untuk menyelesaikan masalah pelajar.
14. Bekerjasama dengan guru-guru bertugas harian atau mingguan untuk menguruskan kawalan terhadap pelajar pada hari perhimpunan, upacara dan majlis-majlis yang diadakan oleh pihak sekolah. Menguruskan pertandingan kebersihan bilik darjah pada tiap-tiap minggu dan mengumumkan kelas yang paling kotor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan