Memaparkan catatan dengan label Keratan Akhbar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keratan Akhbar. Papar semua catatan

28 September 2010

Guru sudah jadi kerani

2010/09/26

BESARNYA cabaran dan tanggungjawab dipikul guru masa kini menimbulkan pertikaian di kalangan masyarakat adakah golongan itu mampu melaksanakan amanah dengan sempurna.

FAHAMI MEREKA...ambillah tahu mengenai kesukaran guru supaya mereka rasa dihargai.


PENUH DUGAAN...mengajar pelajar sudah cukup mencabar, guru tidak wajar dibebankan lagi dengan tugasan sampingan remeh sebaliknya fokus pada tanggungjawab hakiki.

PENUH DUGAAN...mengajar pelajar sudah cukup mencabar, guru tidak wajar dibebankan lagi dengan tugasan sampingan remeh sebaliknya fokus pada tanggungjawab hakiki. Bukan sekadar mendidik, pelbagai tuntutan kerjaya tidak sepatutnya kini mereka galas menjadikan tumpuan terhadap proses penjanaan dan pembelajaran ilmu terjejas. Lebih menyedihkan, golongan itu turut menjadi sasaran kecaman masyarakat jika gagal melahirkan pelajar cemerlang akademik dan sahsiah diri menyebabkan guru semakin terdesak serta tertekan.

Apakah benar peranan guru sebagai sumber pemangkin ilmu semakin terhakis sebaliknya menjadi golongan itu diperkotak katikkan hingga mereka dalam dilema. Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia Cawangan Kedah, Anuar Husin, berkata golongan guru hari ini bukan sekadar memegang tanggungjawab sebagai pendidik malah anggota masyarakat secara keseluruhan.

Menurutnya, cabaran utama bukan lagi menyalurkan ilmu kepada pelajar sebaliknya turut mendidik masyarakat melalui peranan di luar waktu persekolahan sekali gus memberi bebanan dalam melaksanakan tumpuan dan tanggungjawab sebenar.

"Dalam perguruan, tugas hakiki adalah mengajar, malangnya guru masa kini dilambakkan dengan pelbagai tanggungjawab sukar dan mencabar. Mereka bukan sekadar guru tapi turut mendidik masyarakat secara keseluruhan.

"Malangnya masyarakat bersikap sambil lewa dan enggan bersama memikul tanggungjawab mendidik menyebabkan mereka semakin tertekan. Guru juga dihimpunkan pelbagai tugasan tidak sepatutnya seperti perkeranian.

"Justeru, bagaimana mahu menumpukan perhatian pada tugasan? Masyarakat hanya tahu memberi tekanan tapi enggan membantu," katanya.

Bukan isu baru guru terpaksa memikul pelbagai tanggungjawab remeh yang menuntut pengorbanan masa, antaranya mengurus dan mengemaskini sistem maklumat pelajar (Emis), sistem salah laku, pendaftaran, yuran, mengurus kumpulan wang amanah pelajar miskin (KWAPM), rancangan makanan dan susu tambahan.

Memburukkan keadaan, mereka terpaksa berhempas pulas menghabiskan sukatan pengajaran kerana dihantar berkursus selain pembelajaran tergendala. Mengulasnya, Anuar berkata waktu persekolahan padat serta pelbagai perancangan dibuat menjadikan waktu guru semakin terhad hingga menyukarkan proses pembelajaran berjalan lancar.

"Sungguhpun tugasan sampingan tidak sukar, banyak waktu terbuang. Guru sering merungut kerana terlalu terikat dengan pelbagai tuntutan menyebabkan proses pembelajaran tergendala. "Ia bukan remeh dan perlu diberi perhatian kerana bersangkut paut pencapaian pelajar masa depan. Guru sentiasa dipersalahkan jika pelajar gagal. "Masyarakat pula mahukan kecemerlangan tapi enggan memahami. Apabila guru gagal menyempurnakannya, bukankah akan menimbulkan konflik? "Tindakan segera perlu diambil kerana bimbang akan menjejaskan mutu pendidikan keseluruhannya," katanya sambil meminta pihak berkenaan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi kemelut itu. Ditanya adakah rungutan itu disebabkan guru sudah lama dalam zon selesa, beliau berkata golongan itu boleh menerima perubahan namun perlu ada batasan dan mekanisme tertentu bagi menanganinya.

"Guru boleh menerima perubahan malah sedar tanggungjawab dipikul semakin berat tapi perlu ada tolak ansur. Mereka juga ada tanggungjawab lain perlu dipenuhi seperti keluarga. "Masyarakat juga harus memberi sokongan dan bersama menggembleng tanggungjawab. Jangan lepaskan sepenuhnya pada guru kerana tidak adil," katanya. Bagi mengatasi kemelut itu, beliau mencadangkan penyusunan semula tugas pekeranian sedia ada hingga tidak mengganggu tugas hakiki guru selain menambah lagi pembantu guru bertaraf kerani.

Bilangan pelajar turut perlu dikurangkan supaya guru tidak terbeban dalam mengemaskini data peribadi selain menerapkan peranan alumni untuk memberi pembelajaran berbeza berdasarkan pengalaman pekerjaan. "Konflik perlu diatasi secara berhemah supaya semua pihak mendapat manfaatnya. Penyelesaian bukan sekadar jangka pendek tapi berpanjangan demi kebaikan generasi seterusnya. "Menjadi guru bukan mudah namun kerjaya itu sangat mulia, perlu berlapang dada menerima apa jua cabaran manakala masyarakat juga jangan bersikap lepas tangan. "Proses penjanaan ilmu tidak akan terhenti, justeru pelbagai pihak perlu mencari penyelesaian supaya konflik sedia ada dapat diatasi," katanya-My Metro



18 September 2010

Program Susu Sekolah 1Malaysia dilancar

Program Susu Sekolah 1Malaysia dilancar


Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor bersama Musa Aman (tiga dari kanan), Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mengagihkan susu kepada pelajar selepas melancarkan Susu Sekolah 1Malaysia pada perasmian Program Juara Rakyat peringkat negeri Sabah di Sandakan, semalam. - BERNAMA

SANDAKAN 16 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan program Susu Sekolah 1Malaysia dalam usaha melahirkan generasi muda yang sihat dan cerdas.Najib berkata, program yang akan dimulakan awal bulan depan melibatkan semua murid sekolah rendah."Sebenarnya hari ini empat dalam satu yang mana kita menyambut Juara Rakyat, kedua Hari Malaysia, ketiga Semangat 1Malaysia dan satu lagi Susu 1Malaysia.

"Ia merupakan cita-cita saya bagi membangunkan generasi baru Malaysia yang lebih besar tubuh badan dan cergas otaknya. "Jadi saya hendak memperkenalkan susu 1Malaysia yang akan dibekalkan kepada semua murid sekolah rendah dari Perlis hingga ke Sabah," katanya ketika berucap pada program Juara Rakyat Peringkat Negeri Sabah dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Bandaran Sandakan di sini hari ini

Menurut Najib, program susu ini akan melibatkan peruntukan sedia ada Kementerian Pelajaran kira-kira RM4 juta.Bagaimanapun, katanya, peruntukan tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa bagi membolehkan semua murid sekolah rendah terlibat.Dalam pada itu Najib berkata, susu berkenaan akan dibekalkan oleh pengeluar tempatan.

"Saya diberi jaminan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bahawa Sabah mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan program susu 1Malaysia ini untuk semua sekolah rendah," katanya.Beliau turut menyeru penduduk di negeri ini mengambil kesempatan dengan melibatkan diri dalam penternakan lembu tenusu bagi menambah pendapatan.

25 Ogos 2010

CUEPACS terima kasih kepada kerajaan atas bantuan khas kewangan

Berita Harian 2010/08/25
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pesara Kerajaan berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam dan golongan pesara seperti yang diumumkan hari ini. Presiden CUEPACS, Omar Osman, berkata pemberian bantuan khas kewangan bagi Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan itu akan meringankan beban mereka ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian itu, ini sebagai bantuan sumbangan perayaan yang bakal menjelang. Kami sebelum ini memohon bonus sekurang-kurang RM1,000 atau dua bulan gaji kepada semua penjawat awam," kata ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan bonus yang lebih tinggi pada pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas itu yang akan membabitkan lebih 1.24 juta penjawat awam dan dan 590,000 pesara kerajaan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh, berkata pihaknya amat berpuas hati kerana golongan pesara tidak dipinggirkan.

"Kita ucapkan terima kasih dan menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang mana setiap kali pemberian bonus atau bantuan khas, kerajaan tidak melupakan golongan pesara yang telah berkhidmat kepada negara," katanya. Raja Wan Mahmood berkata, pemberian itu menunjukkan keprihatinan Najib terhadap golongan pesara selain meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah. - Bernama

13 Ogos 2010

Kaedah belajar secara kumpulan
SANTAPAN MINDA oleh Dr. Ismail Zain

BELAJAR secara kumpulan adalah salah satu kaedah belajar yang mampu mengurangkan rasa bosan tetapi menguatkan daya ingatan. Murid-murid yang berada di asrama umpamanya perlulah memanfaatkan kaedah ini kerana mereka lebih berpeluang berada dalam kumpulan sama ada pada waktu petang atau malam semasa menghadiri kelas persediaaan.

            Kebanyakan murid menganggap belajar secara kumpulan ini merugikan masa atau tidak mampu memberi tumpuan. Sebenarnya belajar secara kumpulan memerlukan perancangan yang rapi serta kerjasama yang erat daripada anggota kumpulan.

Berikut diberi beberapa panduan belajar secara kumpulan.

• Jumlah anggota kumpulan

Seeloknya jumlah anggota kumpulan adalah antara 3 hingga ke 5 orang sahaja. Jika terlalu ramai interaksi tidak dapat dijalankan secara berkesan dan ianya memakan masa yang lama.

• Topik pembelajaran

Setiap anggota kumpulan perlulah mempunyai kata sepakat tentang topik yang menjadi pilihan mereka untuk belajar dalam kumpulan. Topik tersebut perlulah dibaca dan dikaji dahulu sebelum hadir untuk sesi tersebut.

• Kaedah pembelajaran

o Pecahan topik: Setiap anggota kumpulan perlulah mempunyai tugas untuk menganalisis topik mengikut pembahagian dan pecahan topik.

o Analisis: Setiap anggota kumpulan perlulah menganalisis tugas yang diberikan dengan cara membuat catatan ringkas, rajah, peta minda atau pengurusan grafik. Sebarang keraguan yang terdapat sewaktu proses menganalisis dijalankan perlulah diambil perhatian agar perkara ini dapat dikemukakan kepada anggota lain untuk membantu ke arah penyelesaian.

o Persembahan: Setiap anggota kumpulan perlulah mempersembahkan tugasan mereka secara tidak formal dan bergilir-gilir. Persembahan perlulah dibuat secara jelas dengan menggunakan bahasa yang mudah tetapi mengekalkan sebutan istilah-istilah yang tertentu dan penting.

o Interaksi: Selepas persembahan anggota lain perlu berinteraksi iaitu sama ada bertanya atau memberi pandangan atau teguran jika salah. Proses ini mampu menjelaskan lagi masalah yang terdapat dalam topik tersebut serta dengan tidak secara langsung menguatkan lagi daya ingatan.

o Rumusan: Setiap perbincangan perlulah dibuat rumusan sama ada dalam bentuk nota atau peta minda agar daya ingatan dapat dikekalkan.

Kejayaan kaedah belajar secara kumpulan ini banyak bergantung kepada disiplin diri setiap kumpulan. Setiap anggota kumpulan perlulah menumpukan perbincangan terhadap topik yang ditentukan tanpa gangguan.

Seorang anggota kumpulan perlulah dilantik untuk menyelaras aktiviti yang dijalankan agar ia lebih terancang dan berjaya memenuhi tujuannya. Bagaimanapun setiap anggota kumpulan perlu memainkan peranan masing-masing dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Sesungguhnya belajar secara kumpulan ini tidak memberi sebarang tekanan kerana ianya dijalankan secara mesra, ikhlas dan di ruang yang lebih lapang dan tidak terhad dalam bilik darjah sahaja.



Guru Pemupuk Budaya Membaca

Guru pemupuk budaya membaca

GURU PERMULAAN oleh DR. ISMAIL ZAIN

WALAU apa sahaja kecanggihan perkakasan dan perisian yang digunakan dalam sistem penyampaian maklumat, membaca merupakan satu proses yang amat diperlukan untuk mengakses, menterjemah dan akhirnya memahami maklumat tersebut.

Proses ini berlaku di sekolah dan guru merupakan sumber utama yang mampu memupuk budaya membaca ini dalam kalangan murid.

Memang tidak dapat dinafikan membaca merupakan proses yang bosan serta tidak digemari oleh sebahagian besar murid-murid. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana membaca memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Sedangkan isi bacaan, gaya penulisan dan olahan serta susunan grafik yang terdapat pada halaman-halaman buku tersebut amat mempengaruhi daya tarikan membaca.

Tidak hairanlah kenapa buku-buku atau majalah-majalah yang mempunyai gambar, saiz huruf yang besar serta susunan grafik yang menarik dan berwarna warni menjadi pilihan murid-murid. Manakala buku yang terlalu tebal, saiz huruf yang kecil dan tidak mempunyai gambar, kurang digemari oleh mereka.

Dalam hal ini guru harus memainkan peranan yang penting dalam usaha memupuk budaya membaca. Mereka tidak seharusnya memberi arahan sahaja kepada pelajar untuk membaca tetapi perlu merangka aktiviti yang sesuai dan menarik agar rasa bosan dapat ditangani.

Sebagai contoh aktiviti yang boleh dirancang oleh guru bolehlah mengandungi arahan seperti berikut:

• Mencari dan meneroka: mencari maklumat dan meneroka kisah yang terdapat di dalamnya.

• Menyenarai: menyenarai maklumat yang berkaitan dengan topik yang dibaca.

• Melakar: melakar peta minda atau bentuk grafik yang lain

• Menilai: membuat jangkaan, mengkaji kebaikan atau kelemahan dan membuat cadangan terhadap bahan bacaan tersebut.

• Mempersembah: menyampaikan isi bacaan yang dilakar dalam pelbagai bentuk dan gaya persembahan seperti lakonan, bacaan berirama, berhujah dan sebagainya mengikut kesesuaian tahap masing-masing.

Aktiviti-aktiviti yang disebutkan di atas sebenarnya telah menggabungkan pelbagai deria dan gaya belajar serta mengambil kira aspek kepelbagaian kecerdasan yang ada pada seseorang murid. Malah aspek pemikiran kritis dan kreatif serta budaya inovasi sudah digarapkan dalam aktiviti ini.

Guru seharusnya kreatif dalam proses merancang corak pembelajaran dan pemilihan media pengajaran kepada murid-murid. Kekangan masa serta hal-hal lain tidak harus dijadikan alasan kenapa pengajaran yang berasaskan sumber dan aktiviti tidak dapat dijalankan. Perancangan yang rapi, pemilihan yang bijak serta jiwa yang ikhlas mampu mewujud pembelajaran yang menarik dan berkesan ke arah pembentukan modal insan yang bermaklumat dan mulia.

Panduan Umum Untuk Pentadbir Sekolah

Panduan umum untuk pentadbir sekolah
Dipetik dari Tutor Utusan


BERIKUT ialah gambaran senarai semak untuk menjadi rujukan kepada pihak sekolah menilai aspek pelaksanaan dan pencapaian sekolah masing-masing.

1.Prestasi pelajar ditanda aras dengan penilaian dan piawaian antarabangsa. Sudahkah sekolah anda mencapai tahap antarabangsa atau masih di takuk lama? Atau anda sebenarnya tidak peduli?

2.Sistem pendidikan negara akan terus menekankan penerapan nilai dan etika yang menjadi asas penting kepada pencapaian Wawasan 2020. Adakah masalah disiplin di sekolah anda menjadi-jadi? Atau semakin baik?

3. Dianggarkan 10 peratus guru besar dan pengetua berprestasi rendah akan diberi latihan kemahiran pengurusan sebagai usaha untuk meningkat prestasi mereka. Bagaimana dengan prestasi anda? Anda perlu ke Institut Aminuddin Baki (IAB)?

4. Kaedah penyampaian latihan di IAB akan berubah daripada berasaskan syarahan kepada penekanan terhadap pembelajaran berdasarkan pengalaman. Kursus pendidikan dan pengurusan akan dijalankan di kampus dan secara atas talian menggunakan platform e-learning, serta dilengkapi repositori pengetahuan digital. Adakah anda mengikuti perkembangan baru ini?

5. Setiap tahun, kementerian menerima lebih 175,000 permohonan untuk menyertai profesion keguruan dan 20,000 orang ditempatkan di sekolah. Ramai pemohon tidak mempunyai sikap dan aptitud yang sesuai untuk menjadi guru. Bagaimana dengan prestasi guru lepasan maktab yang ditempatkan di sekolah anda? Adakah beliau perlu latihan susulan?

6. Bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pula, hanya 3 peratus pemohon mempunyai purata gred terkumpul 3.5 dan ke atas daripada 4.0. Ini menunjukkan profesion keguruan bukanlah pilihan calon cemerlang. Apakah anda merasakan layak untuk lepasan guru seperti ini mengajar di sekolah anda?

7. Menarik siswazah cemerlang menyertai profesion keguruan adalah kritikal dan kerajaan akan melancarkan kempen profil tinggi untuk meningkatkan kesedaran tentang keguruan sebagai profesion yang berprestij. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?

8. Kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti dan ketekalan latihan praktikum kepada guru pelatih, seperti memanjangkan tempoh latihan praktikum dan meningkatkan kerjasama guru berpengalaman yang mempunyai kemahiran membimbing yang tinggi untuk menyelia guru pelatih. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?

9. Dalam tempoh rancangan, latihan praktikum kepada guru pelatih akan ditingkatkan - KPLI akan dilanjutkan daripada satu tahun kepada satu tahun setengah untuk meningkatkan pengalaman praktikum guru pelatih. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?

10. Program praktikum akan menjadi sebahagian daripada penilaian prestasi sekolah dan guru pembimbing. Adakah anda mahu mengambil kesempatan daripada peluang ini dengan memastikan sekolah benar-benar menyumbang kepada program praktikum ini?

11. Pada masa ini, guru pelatih daripada IPG dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh rancangan. Dengan ini, hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan guru. Apakah peranan anda membantu melahirkan guru berkualiti?

12. Pelaksanaan latihan perguruan akan diperluaskan kepada universiti swasta berbanding hanya daripada IPG dan IPTA. Bagaimana anda boleh membantu meningkatkan program keguruan di sekolah anda? Adakah anda bersedia melepaskan guru melanjutkan pelajaran di bawah sistem terbuka ini?

13. Guru berijazah di sekolah menengah daripada 89.4% dalam tahun 2009 kepada 90.0% menjelang tahun 2015. Bagi sekolah rendah pula, kadar ini akan ditingkatkan daripada 28% dalam tahun 2009 kepada 60% menjelang tahun 2015. Bagaimana anda boleh membantu meningkatkan program keguruan di sekolah anda? Adakah anda bersedia melepaskan guru melanjutkan pelajaran di bawah sistem terbuka ini?

14. Melalui inisiatif Tawaran Baru, pergerakan gred yang lebih cepat berasaskan kompetensi dan prestasi akan dilaksanakan. Laluan cepat untuk kenaikan pangkat secara automatik akan diberi kepada semua guru tanpa mengira tempoh perkhidmatan dan keperluan memajukan permohonan. Sistem laluan kerjaya baru dijangka bermula pada tahun 2011 dan dilaksana sepenuhnya menjelang tahun 2015. Apakah sikap anda terhadap prestasi guru anda? Terbuka atau pilih kasih? Atau anda gentar untuk bersikap jujur?

15. Dalam tempoh rancangan, kurikulum baru untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah akan diganti dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah pada 2011 dan ini akan diikuti dengan kurikulum baru untuk sekolah menengah. Kurikulum baru berbentuk modular ini akan memberi peluang kepada setiap pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Adakah anda sudah bersedia menerima kurikulum baru dan mengadakan program perubahan sikap kepada guru anda?

16. Sebagai usaha untuk membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kesukanan, kurikulum baru ini akan menjadikan sukan sebagai satu subjek mata pelajaran bermula tahun 2011. Dasar '1Murid, 1Sukan' mewajibkan setiap pelajar mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan. Setiap pelajar dikehendaki mengikuti aktiviti sukan pilihan masing-masing selama 90 minit seminggu bagi sekolah menengah dan 60 minit bagi sekolah rendah. Adakah anda sudah bersedia melaksanakan program yang penting ini?