Memaparkan catatan dengan label Berita Pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Pendidikan. Papar semua catatan

14 Oktober 2010

Falsafah di sebalik pemansuhan UPSR

Falsafah pemansuhan UPSR

PENGGUBALAN apa juga sistem dan proses dalam pendidikan memang dibenarkan. Hal ini kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mengehadkan seseorang pelajar untuk membuat apa, menjadi apa atau bersikap bagaimana ketika berada dalam sistem. Asalkan pelajar boleh menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai perubahan yang berlaku sepanjang hayat mereka, maka sistem dibenarkan untuk berubah.

Guru perlu tahu dan faham akan hal ini kerana kebanyakan yang kurang senang dengan cadangan itu, khabarnya ialah mereka - para guru sendiri. Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang akan keselesaan dan kesenangan yang kita kecapi selama ini akan tergugat kalau yang kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita dan negara.

Jadi, bila ada cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak ada alasan untuk membuat bantahan kerana sistem pendidikan kita terbuka kepada perubahan yang dinyatakan dalam FPK. Namakan apa sahaja - evolusi, revolusi, penambahbaikan - tujuannya adalah sama, menyediakan anak-anak kita dengan perubahan yang bersesuaian dengan zamannya nanti. Memang tidak ada yang kekal di muka bumi Allah ini kecuali perubahan. UPSR bukan makalah wahyu yang tidak boleh diubah semata-mata ia telah dilaksanakan lebih daripada 15 tahun.

Secara asasnya, FPK - daripada dahulu sehingga sekarang - ialah pembangunan modal insan bermatlamat memperkembang potensi individu secara menyeluruh, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi. Hal ini bertujuan untuk melahirkan pekerja yang berilmu dan berketrampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan negara untuk mencapai kecemerlangan dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau jargon semasa, k-ekonomi.

Oleh itu, asas kepada perubahan ini terletak kepada beberapa perkara dan semua orang perlu bersikap terbuka - bukan sahaja masyarakat, tetapi juga guru, para pegawai kementerian, penggubal dasar dan sebagainya. Kita juga sering mendengar rungutan tentang sikap segelintir pegawai di dalam kementerian yang beria-ia benar hendak mempertahankan kurikulum sedia ada, kononnya yang terbaik - sehingga menutup pintu kepada cadangan oleh pihak luar yang mungkin lebih profesional dan semasa sifatnya.

Parameter pertama di bawah FPK yang perlu mengalami perubahan ialah penyediaan kurikulum yang lebih relevan. Kurikulum perlu diubah suai mengikut keperluan semasa supaya murid memperolehi pengetahuan terkini, mengikuti perkembangan sosial dan menguasai kemahiran yang bernilai dari segi ekonomi. Kedua ialah penyediaan sistem penyampaian yang berkesan - Sistem penyampaian yang berkesan akan meluaskan pengalaman murid kerana mereka dapat maklumat daripada pelbagai punca maklumat di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi yang canggih seperti ICT. Sistem ini juga membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan.

Ketiga ialah penekanan kepada pendidikan agama dan moral. Peningkatan kepada salah laku dalam kalangan pelajar sekolah dan gejala sosial dalam masyarakat memerlukan penerapan nilai agama dan moral pada semua peringkat pendidikan diperkukuh dan memastikan nilai baik dapat dihayati dalam semua aspek kehidupan. Sebagai tambahan, pemupukan semangat patriotik perlu dipupuk melalui semua mata pelajaran. Pemupukannya juga dapat dilakukan melalui aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.

Pemupukan semangat patriotisme bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai semangat cinta- kan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Selain pembangunan insan, pendekatan strategik juga seharusnya berfokus kepada pembangunan sumber pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan. Setelah memahami kandungan FPK, marilah kita bertanya, sama ada UPSR - juga peperiksaan awam lain - telah mencapai gagasan membangunkan modal insan yang kita impikan itu.

Kalau belum, mengapa tidak kita ganti sahaja dengan yang lain. Mungkin perubahan dalam sistem pendidikan kelak umpama banjir besar - menghanyutkan terus sistem lapuk dan orang yang enggan berubah di dalam laluannya. Sumber Utusan Online



25 Ogos 2010

Kodu Game Lab

Oleh Hazwan Faisal Mohamad-Berita Harian 2010/08/25

MICROSOFT Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran memperkenalkan kaedah baru sistem pendidikan menerusi penghasilan permainan komputer dilengkapi perisian pendidikan berkesan. Perisian ‘Kodu Game Lab’ itu adalah yang pertama dicipta di dunia dan Malaysia bersama Singapura dan Australia menjadi negara pertama mencubanya, ia membolehkan pelajar mencipta permainan komputer sendiri mengikut kreativiti masing-masing. Pengarah Pelajaran Microsoft Malaysia, Farad Alhusaini, berkata program yang dilancarkan sebulan lalu membabitkan tujuh sekolah terpilih iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Maluri, SMK USJ 12, SMK Kalumpang, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Harcroft dan SJK(C) Chiao Nan.

“Walaupun baru dilancarkan, maklum balas yang diterima sungguh menggalakkan. Kami perlu melaksanakan proses penapisan bagi memilih mereka yang layak.

“Perisian mudah digunakan dan diberikan percuma kepada pelajar dan boleh juga dimuat turun menerusi internet menerusi program yang dilaksanakan di sekolah,” katanya pada sidang media pengenalan perisian pendidikan di SMK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas Pertandingan Kodu Kup 2010 yang julung kali dianjurkan, Farad berkata, acara ini pastinya menjadi medan menguji kemampuan peserta dalam mencipta permainan menggunakan perisian itu. Hasil kreativiti mereka dinilai berdasarkan inovasi, keseronokan, kualiti produk dan persembahan peserta.

Pertandingan sebulan berakhir Jumaat lalu, kata beliau, terbuka kepada peserta berusia sembilan hingga 15 tahun.

“Melalui pertandingan itu, diharapkan dapat melahirkan ramai pereka permainan tempatan pada masa depan dalam industri bernilai berbilion ringgit ini,” katanya. Pelajar Tingkatan Dua SMK Taman Bukit Maluri, Sarvesh Seger, berkata pada mulanya, 200 murid bersemangat menyertai program ini, namun hanya 64 terpilih apabila guru menguji kemahiran menggunakan komputer sebelum memilih mereka yang layak.

“Saya berbangga kerana terpilih dan peluang mengikuti program dan mendapat banyak pengalaman daripadanya. Pada bengkel tiga hari yang diadakan di sekolah, kami diajar cara mencipta permainan komputer menggunakan perisian ini.

“Ternyata aktiviti ini mudah dikendalikan. Proses mencipta permainan yang ringkas hanya mengambil masa beberapa minit. Kepuasan terasa apabila melihat rakan atau adik beradik bermain permainan ciptaan saya,” katanya.

Formula Bijak Sifir kaedah mengira secara cepat, mudah

Oleh Hazwan Faisal Mohamad-Berita Harian 2010/08/25

KAEDAH bijak sifir tidak memaksa murid menghafal, sebaliknya pendekatan itu membimbing mereka kepada teknik mudah menguasai sifir dan kebiasaannya masing-masing boleh berbuat demikian dalam tempoh dua hari. Formula yang dibangunkan selama tujuh tahun itu kata penulis buku Bijak Sifir, Muhamad Tajudin Mustafa, dilengkapi kaedah berkesan menguasai sifir satu hingga 12 secara sistematik.

Beliau yang juga graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkata proses menguasai sifir itu dilaksanakan menerusi sesi bengkel yang menyasarkan murid Tahun Satu hingga Enam selain mempelawa mereka berminat menyertainya.Katanya, setakat ini, peserta bengkel memberi maklum balas positif dan mereka hanya menguasai sifir menerusi teknik pembelajaran berkesan. Kaedah Bijak Sifir itu membantu mereka memahami konsep pengiraan secara mudah dan cepat.

“Syarat asas peserta bengkel adalah dalam kalangan murid sekurang-kurangnya mengenali nombor dan mahir dalam operasi penambahan,” katanya. ”Sejak dilancarkan dua bulan lalu, tujuh sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Coronation Park, SK Sumpitan, SK Temelong, SK Convent Aulong, SK St Francis, SK Banggol Belimbing dan SK Parit dari Perak menyertai program berkenaan,” katanya kepada Berita Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Muhamad Tajudin, berkata idea menghasilkan formula itu tercetus berikutan fenomena pelajar lemah dalam mata pelajaran matematik sering dikaitkan dengan kegagalan mereka menguasai sifir dengan baik. Beliau berkata, kaedah konvensional yang dilaksanakan tidak berkesan hingga mendatangkan tekanan kepada mereka. Katanya, kaedah sedia ada juga memaksa murid menyanyi dan menjatuhkan hukuman jika gagal berbuat demikian. Keterangan lanjut teknik menguasai sifir boleh layar laman web, www.bijaksifir.com.my.

19 Ogos 2010

Penilaian Guru Cemerlang berdasarkan hubungan baik tak tepat

Dipetik dari Perkhidmatan Pelajaran Blog
Rabu, 2010 Ogos 18




KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk aduan ‘bekas guru’, dalam ruangan ini bertarikh 9 Mei lalu bertajuk ‘Jemaah Nazir wajar semak guru cemerlang’.Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) diamanahkan untuk mentadbir urus hal berkaitan penilaian calon guru cemerlang dan pemantauan guru cemerlang.Dakwaan sesetengah guru memperoleh markah tinggi dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) asalkan menjalin hubungan baik dengan penilai tidak tepat.

Aspek lain yang dinilai JNJK ialah keterampilan profesional, pengurusan kurikulum, peranan dalam aktiviti bukan akademik, keperibadian dan pembabitan guru terbabit dalam bidang kepakarannya di peringkat antarabangsa, negara, daerah dan sekolah.Nazir penilai juga akan menemubual pengetua atau guru besar, guru penolong kanan, ketua panitia, guru dan murid bagi mengesahkan kepakaran calon.

Data kekosongan kuota guru cemerlang gred DG44 di sekolah rendah dan menengah yang diberikan juga tidak tepat. Kuota kekosongan yang diiklankan pada 25 Jun 2010 bagi gred DG44 sekolah rendah adalah 1531, manakala sekolah menengah 476.

Saranan ‘bekas guru’ supaya kuota guru cemerlang gred DG44 lebih banyak di sekolah rendah berbanding di sekolah menengah tidak bersesuaian kerana bilangan guru DG41 lebih ramai di sekolah menengah. Data terkini guru cemerlang DG44 di sekolah menengah (5379) dan sekolah rendah (7137).

JNJK amat prihatin isu berkaitan kualiti guru cemerlang bagi memastikan mereka berupaya mengekalkan kecemerlangan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran

15 Ogos 2010

Mohd Puad setuju beri kuasa polis tambahan kepada guru


BATU PAHAT – Cadangan oleh Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (Kongres), Jemale Paimen untuk memberikan kuasa polis tambahan kepada guru terutamanya guru disiplin dipersetujui tetapi kajian yang mendalam perlu dilakukan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi. Walau bagaimanapun, tindakan berkenaan perlu kajian mendalam sebelum diluluskan kerana pelaksanaannya memerlukan masa dan pihak kementerian tidak mahu sesuatu kejadian sebaliknya berlaku.

Menurutnya, pihak yang mencadangkan untuk memberikan kuasa polis tambahan kepada guru juga perlu menghantar satu memorandum berkaitan dengan permintaan itu.“Perkara tersebut sememangnya baik dan saya sendiri bersetuju tetapi kita perlu lihat kesannya terutamanya kepada guru kerana berkemungkinan ia akan menambah beban tugas guru yang sedia ada. “Guru disiplin berkenaan juga perlu di beri jaminan keselamatan terutamanya ketika di luar kawasan sekolah jika mahu di beri kuasa terbabit kerana guru berkenaan hanya berkuasa di dalam sekolah sahaja,” katanya ketika melawat mangsa ribut di Minyak Beku, semalam.

        Puad berkata, jika guru diberi kuasa berkenaan kebaikannya memang banyak seperti pelajar akan lebih takut untuk melakukan kesalahan di dalam sekolah seperti bertindak balas melakukan kerosakan kepada barangan milik guru termasuklah membakar dan sebagainya. Katanya, tetapi perkara ini perlu dikaji dan pertimbangan yang sewajarnya akan dilakukan supaya dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan masalah disiplin di kalangan pelajar.

“Bagaimanapun, bukan guru sahaja perlu membendung masalah ini, peranan ibu bapa dan masyarakat juga penting untuk mengatasi masalah pelajar yang terlibat dengan salah laku terutamanya jika berada di luar kawasan sekolah," katanya.

Sinar Harian: 14 Ogos 2010

Percepat pengeluaran Garis Panduan Peraturan Sekolah

Utusan Malaysia Online: 11 Ogos 2010



KUALA LUMPUR 11 Ogos — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) hari ini menggesa Kementerian Pelajaran mempercepatkan pengeluaran Garis Panduan Peraturan Sekolah yang baru bagi melindungi guru berikutan masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing.

Setiausaha Agongnya, Lok Yim Pheng berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, kesatuan guru, para akademik dan ibubapa pada 2007, namun, masih belum menerima maklum balas mengenainya.

"Garis Panduan Peraturan Sekolah telah dibincangkan lama dulu, tetapi sehingga kini, masih belum siap dan kami masih lagi menunggu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi menangani masalah disiplin pelajar yang kian meruncing, Lok berkata pihaknya berpendapat lebih ramai guru lelaki diperlukan dan jawatan Ketua Guru Disiplin di setiap sekolah, dijadikan sebagai jawatan baru untuk kenaikan pangkat.

"Bagi melayakkan diri, setiap guru dengan kelayakan DG44 boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tersebut bagi sekolah menengah dan DG32 bagi sekolah rendah,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai persediaan, beliau berkata mereka yang ditawarkan ke jawatan itu perlu menghadiri latihan intensif dalam aspek undang-undang dan cara menangani masalah disiplin sebelum mula bertugas.

Lok juga berkata pihaknya mencadangkan agar kuasa merotan pelajar diberikan semula kepada guru bagi mengawal pelajar yang mempunyai masalah disiplin kronik.

"Syarat boleh diletakkan, tetapi kuasa merotan perlu dipulangkan semula bagi memudahkan kawalan terhadap segelintir pelajar “tegar” yang kerap menimbulkan masalah di sekolah,” katanya.

Beliau berkata perkara itu penting diberikan perhatian untuk melindungi golongan pendidik berdasarkan tindakan “berani” segelintir pelajar pada mutakhir ini yang mencetuskan kebimbangan.

"Sebilangan pelajar kadangkala bertindak terlalu agresif sehingga mencederakan guru, khasnya guru wanita.

"Minggu lepas, seorang guru diserang oleh seorang pelajar yang bertindak agresif di Sarawak,” katanya. — Bernama