Memaparkan catatan dengan label Bahan Informasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahan Informasi. Papar semua catatan

26 September 2011

Iklan Untuk Mengikuti KPLI-SR j-QAF(LPBS) Kini Dibuka

IKLAN PERMOHONAN
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mempelawa calon yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR) j-QAF Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) di Institut Pendidikan Guru(IPG), KPM.
Info Lanjut

03 September 2011

TAKWIM PEPERIKSAAN UPSR 2011

Berikut ialah Takwim Peperiksaan UPSR 2011


UPSR
Ujian Bertulis        13, 14 dan 15 September 2011(3 hari)

*Tarikh yang dinyatakan adalah tertakluk kepada pindaan. Sebarang pertanyaan berkaitan takwim peperiksaan bolehlah menghubungi talian berikut

UPSR : 03-8884 3382



07 Julai 2011

Surat Siaran Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Larangan Menghadiri Perhimpunan Haram " Bersih".

Assalamulaikum dan Salam Hormat sekalian. Makluman kepada seluruh warga SK Jambongan sila rujuk Surat Siaran berkenaan melarang untuk menghadiri perhimpunan "bersih".
Info rujukan Portal PPD Beluran;
http://www.ppdbeluran.net/

06 Julai 2011

Karisma Guru


Assalamulaikum dan Salam Hormat untuk kalian semua. Apa khabar kalian semua, semestinya kita mengharapkan sesuatu yang lebih luar biasa bagus dari sebelum ini. Kali ini mari kita berkongsi tentang "karisma guru".

Apakah yang dimaksudkan dengan karisma itu?. Karisma ialah salah satu ciri kepimpinan yang ada pada seseorang itu. Karisma juga boleh dikaitkan sebagai seorang yang memiliki kuasa penarik yang luar biasa, sehinggakan setiap perilaku, cerita dan arahannya mudah untuk mempengaruhi seseorang atau para pengikutnya. Alangkah bagusnya jika kita punyai karisma ini. Dan begitu juga yang diharapkan kepada para pemimpin.

Senario seterusnya dalam konteks di sekolah ada pemimpin yang berkarisma dan ada pula tidak berkarisma. Jika seseorang pemimpin sekolah itu berkarisma sudah pasti dia mempunyai kuasa peribadi yang sangat berharga. Dengan kuasa karisma yang ada pada dirinya, dia sebenarnya mampu mendorong dan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku para pengikutnya.

Pemimpin yang berkarisma ini dengan hanya melihat wajahnya, penampilannya, suaranya dan gerak gerinya sudah mampu mempengaruhi orang di sekitarnya. Dengan kelebihan yang ada pada dirinya ini, mudah bagi pemimpin tersebut merealisasikan misi, visi, dan segala perancangannya secara menyeluruh dengan mendapat sokongan padu dari kalangan para pengikutnya.

Bagaimana pandangan kalian, adakah kuasa karisma ini lahir secara semulajadi atau faktor genetik. Sebenarnya kuasa karisma ini bukanlah anugerah pemberian tuhan secara langsung terhadap seseorang pemimpin itu khususnya, tetapi adalah sesuatu yang boleh diperolehi dan dipertingkatkan. Antaranya menerusi kepakaran, ketulusan dan imej.

Kepakaran berkait rapat dengan kuasa karisma! Mengapa?. Jawabnya begini, untuk anda menjadi seorang yang berkarisma, anda perlulah mempunyai ilmu yang luas dan ini sebenarnya anda sedang menuju ke arah seorang yang pakar kepada pakar.

Seterusnya ketulusan, bagaimana ketulusan membolehkan sesorang pemimpin atau guru itu berkarisma. Sebenarnya ketulusan memang dituntut untuk semua yang bergelar guru, dengan ketulusan yang ditunjukan seseorang guru itu lebih dihormati, disegani dan dihargai oleh rakan-rakan dan murid-muridnya. Apa jadi jikalau seseorang guru itu tidak telus. Sudah pasti guru tersebut sukar untuk bergaul, berkomunikasi dan mengajar pada anak muridnya.

Dan yang akhir ialah imej. Imej sangat penting untuk memupuk kuasa karisma pada seseorang pemimpin atau guru. Cara berpakaian yang betul, kemas, bijak memadankan warna pakaian, stail rambut, dan percakapan sangat mempengaruhi kuasa karisma. Apa jadi jika guru berkenaan berpakaian lusuh, koyak rabak, pemadanan warna yang teruk dan sebagainya. Sudah pasti rakan-rakan dan anak murid memberi pelbagai persepsi yang negatif. Berusahalah untuk memperbaiki dan mempertingkatkan imej diri masing-masing agar guru atau pemimpin itu mempunyai kuasa karisma. Wasalam

Ditulis oleh
Cikgu Sharif Putra
SK Jambongan

 

21 Mei 2011

Peperiksaan Semester 1 SKJ 2011

Terkini SK Jambongan bermula dari tarikh 16 Mei hinggalah 20 Mei melangsungkan peperiksaan untuk semester 1. Peperriksaan ini merangkumi tahap satu dan juga tahap dua. Semoga murid-murid tenang dan beroleh kejayaan dalam peperiksaan. Insyallah

21 April 2011

Mesyuarat Agung PIBG SKJ 2011

Assalamulaikum dan Selamat Sejahtera sekalian. Pada tarikh 19 April 2011 bersamaan hari selasa pihak PIBG SK Jambongan telah mengadakan mesyuarat agungnya untuk sesi tahun 2011/2012. Antara agenda dan intipati mesyuarat tersebut ialah membincangkan arah tuju perancangan persatuan terutamanya aktiviti serta program yang akan dilaksanakan kelak pada sesi baru iaitu 2011/2012.

Selain itu juga di kalangan ahli persatuan, memaklumkan kepada pihak sekolah tentang komitmen mereka untuk bersama-sama memajukan sekolah seperti dari aspek pembangunan fizikal, kecemerlangan akademik, sukan dan sebagainya. Untuk itu pihak YDP iaitu saudara Sharif Zakaria Sharif Attar yang terus diberi mandat memimpin persatuan, mencadangkan agar pihak sekolah membuat laporan terkini berkenaan trajedi bencana alam di kawasan sekolah. Hal ini akan dibincangkan di peringkat persatuan dan akan diajukan ke pihak atasan.

Agenda seterusnya ialah pembubaran ajk 2010/2010 dan menyaksikan muka-muka baru untuk sesi 2011/2012. Walau bagaimanapun terdapat juga ajk lama terus kekal memegang jawatan masing-masing seperti YDP dan Juruaudit. Tahniah diucapkan dan selamat menjalankan tugas.

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

18 Februari 2011

600 Sekolah Perlu Dibaiki


Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dari tinjauan yang telah dibuat didapati bahawa sebanyak 600 sekolah berada dalam kategori yang memerlukan perhatian serius. Beliau berkata pihak Kementerian Pelajaran bercadang untuk terus melantik khdimat perunding untuk memastikan sekolah-sekolah tersebut perlu dibaiki segera. Menurut beliau " Jika perlu, kita melantik perunding khususnya membaiki infrastruktur sama ada perlu diperbaharui atau pun membina bangunan baru". Rekod kementerian menunjukan daripada angka berkenaan, sebahagian besar daripadanya membabitkan sekolah di Sabah dan Sarawak.

15 Oktober 2010

Info Terkini PTK dimansuh


Info terkini Penilaian Tahap Kecekapan(PTK) dimansuhkan serta merta. Hal ini dimaklumkan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak ketika membentangkan sesi Bajet 2011 sebentar tadi. Walau bagaimanapun PTK akan digantikan dengan satu keadah yang baru mulai sesi jun 2011 nanti. Sehubungan itu juga Perdana Menteri mengumumkan tentang pemberian wang bantuan sejumlah RM500 kepada seluruh pejawat awam pada bulan disimber ini.

09 Oktober 2010

TABIAT MEMBACA

PROGRAM GERAKAN TABIAT MEMBACA PERINGKAT SEKOLAH



Program Gerakan Tabiat Membaca ini merupakan satu aktiviti utama Kementerian Pelajaran Malaysia. Program ini bertujuan untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid sekolah dan pembelajaran sepanjang hayat. Semua Pengetua dan Guru Besar diminta untuk menubuhkan Jawatankuasa Gerakan Tabiat Membaca Peringkat Sekolah. Jawatankuasa ini hendaklah membuat perancangan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Gerakan Tabiat Membaca. Aktivtiti ini termasuklah aktiviti yang diarahkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah, Daerah dan aktiviti-aktiviti yang dirancang sendiri oleh sekolah. Laporan pembentukan jawatankuasa ini hendaklah diserahkan kepada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah selaku urusetia Program Gerakan Tabiat Membaca Peringkat Negeri Sabah untuk tujuan penyelarasan. Laporan ini hendaklah dialamatkan kepada:

 
Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah
Lorong Sahabat,
Off Jalan Penampang Lama, 88500 Penampang
(U.P: Unit Pengurusan Sumber Pendidikan)





13 Ogos 2010

Murid prasekolah naik 87% pada 2012

Murid prasekolah naik 87% pada 2012
OlehMUZDALIFAH MUSTAPHApengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan menyasarkan peningkatan 87 peratus pendaftaran kanak-kanak prasekolah kepada 447,556 murid pada 2012 berbanding 342,706 murid pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah meningkatkan jumlah kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah itu merupakan usaha menjadikan sistem pendidikan negara terus relevan.

Menurutnya, pada masa sama, ia bagi mencapai matlamat menjadikan prasekolah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.

“Pertambahan 104,850 murid itu adalah penyertaan kanak-kanak kohort berusia lima tahun yang mengikuti pembelajaran prasekolah kerajaan dan swasta,” katanya menjawab soalan Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya memantapkan kemahiran berbahasa serta pembentukan sahsiah positif di kalangan kanak-kanak prasekolah mengikut kurikulum yang dikuatkuasakan sejak 2003 sama ada di sekolah kerajaan mahu pun swasta.

Katanya, kurikulum prasekolah sedia ada akan ditambah baik termasuk cadangan memanjangkan 50 peratus tempoh interaksi dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, 4,194 kelas prasekolah baru pula akan dibina menjelang 2012 selain menggalakkan penyertaan pihak swasta melalui cadangan pemberian insentif.

Tambah beliau, kementerian juga memberi latihan kepada guru prasekolah kerajaan dan swasta melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme.

“Penyeliaan serta pemantauan bagi memastikan kualiti pendidikan prasekolah dijalankan dari semasa ke semasa.

“Bukan itu sahaja, pelbagai program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan ibu bapa terutama di luar bandar serta yang berpendapatan rendah akan dijalankan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abd. Rahman mengenai masalah murid-murid normal yang keciciran membaca, menulis dan mengira (3M), Muhyiddin berkata, beliau yang menyedari perkara itu.

Menurutnya, masalah tersebut berlaku ekoran perbezaan kawasan pendidikan seperti di dalam dan luar bandar.

Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan mengambil inisiatif menyediakan peruntukan RM48 juta melalui Bajet 2010 bagi memperbaiki kelemahan aspek keperluan, kemudahan dan latihan yang tidak mencukupi itu.

Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Muhyiddin berkata, program Permata di seluruh negara telah menunjukkan prestasi cemerlang dan kementerian bercadang mengembangkannya.

Sekolah satu aliran tidak mustahil dilaksanakan

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Cadangan penubuhan sekolah satu aliran tidak mustahil dilaksanakan jika semua pihak melupakan kepentingan politik demi perpaduan negara.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata, beliau menyokong cadangan itu tetapi menyifatkan pelaksanaannya amat sukar kerana banyak pihak masih mempertahankan kepentingan sendiri.

Setakat ini, katanya, terdapat banyak pandangan berbeza disuarakan yang menggambarkan cadangan itu sukar dilaksanakan kerana masih terdapat ramai pihak yang menentang.

''Semua pihak menyokong idea 1Malaysia tetapi tidak mahu menerima cadangan ini untuk menjaga kepentingan politik mereka agar terus mendapat sokongan daripada kaum masing-masing.

''Bagaimanapun, ia bukanlah satu yang mustahil jika masyarakat sanggup melupakan kepentingan politik dan ingin berubah demi perpaduan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Bengkel Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini hari ini.

Program tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dengan disertai seramai 52 pelajar cemerlang dari tujuh buah sekolah di sekitar Cheras.

Sementara itu bercakap mengenai program tersebut, Syed Ali berkata, Program Bengkel Kecemerlangan SPM 2009 ini dapat meningkatkan pengetahuan dan semangat pelajar untuk menduduki peperiksaan tersebut.

''YPC berjanji akan memberi insentif RM1,000 kepada setiap seorang pelajar sekolah di kawasan Cheras yang mendapat keseluruhan A dalam SPM nanti.

''Ini adalah suntikan semangat kepada mereka untuk lebih bersungguh-sungguh dan berkeyakinan menghadapi peperiksaan itu,'' katanya.


Transformasi pendidikan: mampukah ia dijayakan?
Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

SEPERTI yang diumumkan usaha melaksanakan transformasi kurikulum dan pentaksiran telah bermula secara rintis bermula di peringkat prasekolah dan Tahun Satu di sekolah yang sama. Sebanyak 50 buah sekolah terlibat pada tahun 2008 dan 500 buah lagi dijangka terlibat dalam tahun 2009. Ujian rintis bagi tingkatan satu pula dijangka bermula pada tahun 2010. Sekiranya tidak terdapat sebarang masalah yang rumit, mungkin ia akan dilaksanakan di prasekolah dan tahun satu pada tahun 2010 dan tingkatan satu pada tahun 2012.

Boleh dikatakan proses ransformasi ini agak kompleks kerana ia melibatkan dua bahagian yang paling penting dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), iaitu Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Bagi memastikan kejayaannya, mahu tidak mahu, kedua-dua bahagian ini perlu berkerja sama secara erat dan efektif. Keduanya juga perlu jujur dengan dapatan masing-masing bagi memastikan rumusan yang terbaik dapat dibuat bagi menjamin masa depan anak-anak kita di sekolah.

Dari segi konsep, difahamkan bahawa transformasi kurikulum melibatkan aspek pengkajian semula kurikulum agar seimbang, bersifat holistik dan tidak terlalu akademik atau membebankan. Konsepnya masih berlandaskan prinsip-prinsip Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bentuk kurikulum ini dibahagikan kepada Enam Tunjang Pembelajaran, iaitu aspek komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, literasi sains dan teknologi, fizikal dan estetika serta ketrampilan diri.

Difahamkan juga akan terdapat sedikit perbezaan dari segi susunan kandungan kurikulum pada setiap tahap pembelajaran. Bagaimanapun perbezaan yang paling ketara adalah dari aspek organisasi kurikulum. Dalam KBSR, misalnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) diasaskan kepada hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian SP manakala dalam transformasi, ia akan dilaksanakan berasaskan standard kandungan (perkara yang murid patut ketahui) dan standard pembelajaran (satu penetapan kriteria yang perlu dicapai oleh murid). Kurikulum di sekolah akan disusun dalam bentuk yang modular dan mungkin melibatkan penyusunan semula jadual waktu di sekolah.

Begitupun transformasi kurikulum ini tidak akan berjaya jika ia berjalan secara sendirian. Oleh kerana ia akan dilaksanakan berdasarkan standard kandungan (standard based), bukan lagi secara berdasarkan hasil (outcome based), maka elemen yang amat penting untuk dilaksanakan serentak adalah pentaksiran.

Hanya melalui kaedah pentaksiran yang baik, guru dapat menentukan tahap penguasaan murid terhadap modul-modul yang telah dilaksanakan. Kemahiran guru diperlukan untuk mengenal pasti murid yang bermasalah dan kesabaran guru diperlukan untuk memastikan murid ini tidak ketinggalan berbanding murid-murid yang lebih maju di dalam kelas dan berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang disampaikan. Bagi memastikan ini dapat dilaksanakan dengan baik, KPM perlu memberikan tumpuan terhadap usaha melatih semula guru-guru dan mempersiapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran baru yang diperlukan.

Bahan sokongan seperti bahan multimedia, buku panduan guru dan buku aktiviti yang sesuai perlu disediakan. Ia melibatkan implikasi perjawatan bagi memastikan pembangunan dan pelaksanaan transformasi ini dapat terlaksana mengikut tempoh dirancang selain implikasi kewangan untuk mengadakan penanda arasan, pembinaan bahan, uji rintis, kajian semula geran per kapita PCG) dan latihan guru.

Akhir sekali, pengalaman dan kelemahan pelaksanaan dasar-dasar yang besar sebelum ini seperti KBSR, Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) serta program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar transformasi ini beroleh kejayaan di masa hadapan.





11 Ogos 2010

Penjenamaan Kerjaya Guru

Penjenamaan kerjaya guru
Oleh Basir Zahrom
2010/08/10

            SPP perlu pantau urusan perkhidmatan pastikan kebajikan pendidik terbela
KAEDAH pengambilan guru perlu dikaji semula serta dipelbagaikan bagi mengelak haluan kerjaya terlalu panjang mengakibatkan profesion itu dilihat tidak menarik, kata Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad

             Beliau berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) perlu memberi perhatian mengenai isu itu kerana ia adalah antara beberapa perkara penting yang harus mendapat penyelesaian segera daripada suruhanjaya itu selaras dengan usaha pemerkasaannya selepas 36 tahun ditubuhkan.

           Mohamed Sabri berkata, pihaknya menyokong pendekatan sedia ada iaitu pengambilan saluran kedua, Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang berkhidmat lebih satu tahun diberi peluang temu duga untuk dipilih mengikuti latihan di Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum diserap sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST). “KGMMB yakin ada dalam kalangan mereka layak dipilih menjadi guru berdasarkan komitmen dan minat sepanjang tempoh menjawat GSTT cuma mungkin perlu diberi Kursus Dalam Cuti untuk melengkapkan diri sebelum menjadi guru.
        “Kami menyokong cadangan supaya skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dibuat penjenamaan semula dengan mengambil kira laluan kerjaya lebih menarik kepada calon guru yang sudah menamatkan Latihan Perguruan di universiti tempatan dan IPG terus dilantik ke jawatan tetap PPP Siswazah DG41 tidak seperti sekarang yang melantik mereka sebagai GST DC41 terlebih dulu. “Laluan sekarang banyak birokrasi dan memperlihatkan proses menjadi guru itu penuh berliku menyebabkan profesion perguruan dilihat tidak menarik sedangkan profesion profesional seperti doktor, peguam tidak sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
           Bagi PPP yang menyambung pengajian dan dilantik ke gred jawatan baru, Mohamed Sabri berkata, seharusnya tidak perlu melalui proses temu duga sebaliknya terus dilantik ke jawatan tetap kerana masih dalam sistem pendidikan sedia ada kerana perubahan cuma berlaku pada gred jawatan sedangkan mereka masih kekal dengan tugas hakiki.
        Katanya, laluan kerjaya guru juga harus dikaji dan diubah kerana ia terlalu banyak sehingga melebihi 20 skim. Pihaknya mencadangkan satu skim bersepadu untuk laluan kerjaya guru diwujudkan sebagaimana skim perkhidmatan tentera, polis dan pegawai perubatan. “SPP juga perlu memainkan peranan dalam menyedarkan ketua jabatan supaya lebih peka mempercepatkan urusan perkhidmatan dan tatatertib bagi menjamin standard dan kebajikan guru terpelihara selain menjadi badan penyelaras memilih calon perguruan yang bakal mengikuti kursus perguruan di universiti awam dan IPG.
      “Hal ini penting supaya perkara ketidakseragaman di peringkat pemilihan, latihan dan penempatan selesai kerana terdapat kes opsyen ditawarkan tidak selaras dengan ijazah dimiliki calon seterusnya merugikan negara dari segi penggunaan modal insan berasaskan kelayakan calon terpilih mengikuti kursus perguruan. “KGMMB mencadangkan semua Institusi yang melatih guru perlu diperkasakan dengan membuka lebih ruang sebagai tempat memberi latihan kepada warga pendidik dalam perkhidmatan terutama Universiti Pendidikan Sultan Idris dan IPG,” katanya

Hadis Pilihan kali ini..

Puasa Yang Berkat

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”

Riwayat Ibnu Majah


Huraian :


Pengajaran Hadis:


i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia.


ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.


iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara berikut iaitu:


a) Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju kepada segala yang tercela.


b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah, cacai maki dan menyinggung perasaan orang lain.


c) Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang ditegah agama di mana perkara yang haram diucap adalah juga haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.


d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada melakukan atau mengambil perkara yang haram.


iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.


v) Bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.







Jadual Waktu Imsak & Berbuka Puasa Negeri Sabah 2010

09 Ogos 2010

6 Strategi



JOHOR BAHRU: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan enam strategi khas bagi menyokong pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan mulai tahun depan sebagai melengkapkan skop pembangunan sukan di sekolah sekali gus melahirkan pelajar seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dasar yang akan dilaksanakan bagi tujuan mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah itu bukan perkara baru memandangkan sukan menjadi aktiviti wajib dan keperluan sepanjang pertumbuhan murid atau pelajar sekolah.
Berikutan itu, Muhyiddin berkata, sebuah jawatankuasa ad-hoc dipengerusikannya mengadakan mesyuarat menyenaraikan enam pelan tindakan strategik menjayakan dasar berkenaan.“Antaranya memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah, memberi wajaran wajib untuk pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan, mengenal pasti program sukan sekolah untuk dilaksanakan sepanjang tahun dan menubuhkan Bahagian Sukan secara berasingan.
            “Selain itu, kita turut menekankan elemen sukan dimasukkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan mengenal pasti lima Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk melatih guru sukan,” katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-52, di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunus di sini, malam tadi.Muhyiddin berkata, Dasar 1Murid 1Sukan itu mampu melengkapkan skop pembangunan sukan kerana program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) khusus membangunkan atlet sekolah cemerlang sudah dilaksanakan sejak Julai 2008.
          Menurutnya, selaras pelaksanaan transformasi pendidikan, sampai masa kementerian mempunyai kerangka penilaian lebih komprehensif dalam mengukur keberkesanan pelaksanaan agenda pendidikan termasuk sukan.

Sumber : Harian Metro



Standard Profesionalisme Guru diperkenalkan tahun depan

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama)Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan Standard Profesionalisme Guru bermula tahun depan dalam usaha kerajaan memantapkan sistem pendidikan dan melengkapkan tenaga perguruan ke arah menjayakan Model Baru Ekonomi (MBE).
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Wee Ka Siong berkata standard itu merangkumi aspek pemilihan calon guru, latihan praperkhidmatan, penempatan guru, induksi profesionalisme dan pembangunan profesionalisme berterusan (CPD).
               "Selain itu kurikulum latihan perguruan sedia juga dimantapkan dengan menerapkan aspek inovasi, kreativiti, keusahawanan, daya tahan dan berdaya saing," katanya menjawab soalan Senator Datuk Akbar Ali di Dewan Negara, di sini pada Khamis. Selaras dengan itu kementerian menghasilkan 'Buku Panduan Kreativiti: Pembangunan dan Amalan dalam Pengajaran dan Pembelajran' dengan memasukkan aktiviti yang menekankan proses kreativiti dan inovasi bagi setiap mata pelajaran dalam kurikulum sekolah, kata Wee.
Beliau berkata, kementerian juga telah memperkenalkan program Bina Insan Guru (BIG), iaitu satu program wajib yang perlu diikuti oleh semua pelatih guru di Institut Pendidikan Guru (IPG).
             "Kita telah terbitkan satu buku panduan dan sekarang yang penting ialah ejen pelaksananya adalah sangat penting. Sebab itulah kita wujudkan program BIG, yang dilakukan dalam enam semester secara konsisten. "Saya yakin latihan selama lima setengah tahun itu akan dapat membentuk personaliti guru yang baik," katanya. Sementara itu, menjawab soalan Senator Mustafa Kamal Mohd Yusof mengenai jurang perbezaan antara sekolah luar bandar dan bandar, Wee berkata pihaknya telah menyelaraskan fungsi bahagian-bahagian di kementerian, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah mengikut bidang tugas yang ditetapkan.
            Katanya, sehingga Disember lepas sebanyak 10,281 projek pembangunan pendidikan di luar bandar telah siap dilaksanakan, manakala daripada segi peruntukan pula sebanyak RM7.319 bilion atau 53 peratus telah dibelanjakan daripada siling sebanyak RM13,723 bilion bagi projek luar bandar. Wee berkata kementerian juga telah memperluaskan penyediaan kelas prasekolah khususnya di luar bandar dan untuk Orang Asli serta Penan bagi membina kesediaan pembelajaran awal pada kalangan kanak-kanak lima tahun ke atas. Sebanyak 1,982 kelas prasekolah di luar bandar dengan jumlah kapasiti 49,550 orang murid telah disediakan, katanya.
            Selain itu, kementerian juga melaksanakan kurikulum Orang Asli dan Penan di enam buah sekolah perintis dan ianya didapati menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. "Kemahiran murid mengenal huruf, menguasai suku kata dan membaca telah meningkat mengikut tahun pembelajaran.
"Pencapaian juga dilihat dalam kehadiran yang lebih tinggi, murid lebih mengutamakan kebersihan dan kekemasan diri serta mereka lebih berkeyakinan untuk bercakap," katanya.

Prasekolah

Prasekolah jadi sebahagian sistem pendidikan negara
Oleh Ziauddin Sharuddin, Saufi Hamzah dan Hussain Said



MUHYIDDIN bertanya sesuatu kepada pelajar ketika melawat SMK Senawang dan SMK Senawang 3, Senawang, semalam. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri), Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Guru terlatih disedia mantap penguasaan BI: Muhyiddin



PUTRAJAYA: Pendidikan prasekolah bakal dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) bermula daripada peringkat awal, sekali gus memantapkan penguasaan bahasa itu di kalangan murid.



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi tujuan itu, prasekolah akan dibekalkan guru BI terlatih sebagai usaha mencapai sasaran apabila ia dilaksanakan kelak.



"Ramai ibu bapa menghantar anak ke prasekolah. Dalam jangka waktu yang sesuai dengan guru terlatih, mungkin dalam masa dua tiga tahun saja kita boleh kuasai bahasa itu," katanya pada majlis perjumpaan khas Menteri Pelajaran bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.



Beliau berkata, kerajaan menyedari kebimbangan sesetengah pihak jika syarat wajib BI dilaksanakan sekarang, ramai pelajar terutama di luar bandar akan terkandas.



"Dalam peperiksaan SPM 2008, hanya 26.9 peratus calon luar bandar lulus BI. Ia bermakna 73.1 peratus pelajar di luar bandar akan gagal memperoleh sijil jika ia dilaksanakan," katanya.



Beliau berkata, 394,000 warga pendidik perlu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI bagi menjamin masa depan pelajar dan keupayaan menguasai ilmu untuk membolehkan mereka menjadi sumber manusia berkualiti atau mampu bekerja sendiri.

"Ia memerlukan komitmen sepenuhnya, bukan separuh hati. Kita tidak akan ada rasa berbelah bagi dan tak nak ada pro dan kontra," katanya sambil mengulangi pemansuhan PPSMI bukan keputusan politik sebaliknya memerlukan iltizam politik yang tinggi untuk dilaksanakan.



Muhyiddin berkata, walaupun ada suara membantah terutama menerusi akhbar dan blog, kumpulan majoriti yang tidak bersuara juga harus diambil kira.



Beliau berkata, strategi Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah dasar baru yang menjadi sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan negara.



Di SEREMBAN, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memberi insentif tambahan kepada guru BI yang berkhidmat di luar bandar bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan apabila strategi memperkukuhkan penguasaan bahasa itu dilaksanakan pada 2012.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada guru Bahasa Inggeris cemerlang berkhidmat di luar bandar kerana Bahasa Inggeris adalah antara mata pelajaran paling rendah pencapaiannya di kalangan pelajar luar bandar.



"Bentuk insentif belum diputuskan kerana memerlukan penelitian lanjut," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Ke-15 dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Ke-2.



Ramadhan

RAMADHAN BULAN ISTIMEWA

Orang yang berpuasa bukan sahaja berpuasa zahir iaitu tidak makan dan minum tetapi juga menahan segala perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa seperti mengumpat dan membuat kezaliman. Sekiranya kita hanya mengambil
pengertian umum puasa itu, maka jadilah puasa itu sebagai ‘adat’ yang perlu dilakukan setahun sekali.


Puasa sedemikian memberi kesan positif pada jasad sahaja kerana ia mampu meningkatkan kesihatan tetapi tidak memberi input pada roh dari segi ketaqwaan. Sedangkan kejadian manusia terdiri dari jasad dan roh yang perlu ada keseimbangan antara satu sama lain.

Puasa itu merupakan benteng pertahanan dalaman yang dapat menolak segala arus-arus yang boleh membawa kepada keburukan dan maksiat seperti penzinaan, mengumpat, memaki hamun dan sebagainya. Justeru, umat Islam dituntut membanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain yang boleh mempertingkatkan keimanan seseorang.

Rasulullah saw pernah bersabda dalam hadith Qudsi yang bermaksud :

“Tiap-tiap amalan anak Adam ialah satu kebajikan bersamaan sepuluh
balasan pahalanya membawa kepada 700 kali ganda”.

Daripada hadith ini, dapat difahami bahawa Allah SWT akan memberi balasan pahala dengan berterusan hingga melebihi daripada 700 kali ganda banyaknya sekiranya puasa dilakukan dengan penuh ketaqwaan dan keredhaan dan
Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Melainkan puasa bahawasanya puasa itu bagiKu dan Akulah yang membalasnya”.

Firman Allah SWT lagi dalam surah al-Baqarah 261 bermaksud :

“... Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya...”.

Istimewa

Antara kelebihan Ramadhan yang tidak ada pada bulan-bulan lain ialah malam Lailatul Qadar. Malam ini amat penting dan ditunggu-tunggu kerana ketika ini setiap amalan dan doa dimakbulkan dan ibadat sepanjang malam mendapat ganjaran pahala seperti beramal 1000 bulan (83 tahun tiga bulan).

Walau bagaimanapun, tarikh sebenar malam Lailatul Qadar tidak diketahui. Pendapat yang paling masyhur ialah pada 10 Ramadhan terakhir. Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw sendiri menghabiskan 10 hari terakhir Ramadhan dengan beribadah di masjid.

Mengapa tarikh sebenar malam ini tidak diberitahu kepada manusia? Tujuannya adalah untuk mendorong kita supaya sentiasa beramal, bukan menanti hari tertentu sahaja dan sebagai pengajaran kepada kaum muslimin supaya sentiasa berusaha mengerjakan amal soleh bagi memenuhi tuntutan hidup dunia dan akhirat.

Ketibaan Ramadhan sepatutnya disambut dengan penuh keinsafan dan ada persiapan minda untuk mengabdikan diri kepada Ilahi bagi merebut ganjaran pahala. Malah mereka yang mengerti kelebihan bulan ini mengharapkan ianya berlaku sepanjang tahun. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Apabila datang Rasulullah dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan diikat syaitan”.

Hadith di atas merupakan satu dorongan kepada kaum muslimin supaya berusaha melakukan amal soleh dan berlumba-lumba membuat kebajikan semata-mata mencari keredhaan Allah. Oleh itu dapat menghindari perbuatan-perbuatan yang dirangsang oleh syaitan

Selamat Hari Guru 2010

PERUTUSAN HARI GURU 2010 OLEH Y.BHG. TAN SRI KPPM
PERUTUSAN HARI GURU 2010
oleh
Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia



“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.
1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010, kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.



2. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.



3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.



4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.



5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.





Warga pendidik dan pelajar sekelian,



6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.



7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan.Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.



8. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.





9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.



10. Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.



11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.



12. Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.

TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.