Memaparkan catatan dengan label Bahan Peristiwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahan Peristiwa. Papar semua catatan

20 Julai 2011

Lawatan Pemantauan Prasekolah JPN Sabah








Assalamulaikum w.b.t dan salam hormat sekalian. Alhamdullilah syukur kepada allah s.w.t kerana kita terus diberikan kekuatan yang sempurna untuk terus berkhdimat. Kepada rakan-rakan yang berkhidmat di SK Jambongan teruskan usaha kalian. Kata-kata ini juga turut menjadi kata-kata keramat oleh kalangan pegawai yang hadir untuk memantau Prasekolah SK Jambongan.

Pada tanggal 18 Julai 2011 SK Jambongan telah dikunjungi oleh beberapa orang pegawai dari JPN Sabah iaitu Puan Dayang Tijah Hassan(Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah),En Jaladin Hj Bidin(Penolong Pengarah SPS) dan Puan Roselind Sakai(Penyelia SPS) serta Hj Ismail Hj Salleh(Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Beluran).

Antara objektif pemantaun ialah khusus untuk Prasekolah SK Jambongan yang sedikit sebanyak menghadapi cabaran dari aspek pembangunan fizikal. Selain itu turut menjadi keutamaan JPN Sabah ialah memantau keperluan kemasukan murid prasekolah ke asrama. Diakhir sesi pemantauan tersebut Guru Besar SK Jambongan, En Omar Ali Momiran mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kunjungan rombongan dari JPN Sabah serta PPD Beluran. Beliau juga turut menyampaikan hasrat hatinya agar prasekolah SK Jambongan diberi perhatian dengan segera.




05 Julai 2011

Lawatan PPD dan Rombongan Ke SK Jambongan





Assalamulaikum dan Selamat Sejahtera sekalian. Pada tanggal 5 Julai SK Jambongan dikunjungi oleh PPD berserta rombongan beliau seramai 10 orang. Ketibaan rombongan disambut oleh pihak pentadbir sekolah iaitu Guru Besar En Omar Ali dan guru-guru.

Antara intipati lawatan tersebut ialah berkaitan dengan hal-hal pentadbiran dan pembangunan sekolah, hal ehwal asrama dan perkembangan staf.

Lantaran itu juga pihak PPD turut membincangkan pelbagai isu dan hal-hal berkaitan pentadbiran, pembangunan sekolah secara fizikal, perkembangan staf serta asrama sekolah. Pihak PPD menyampaikan amanat beliau dengan mengingatkan semua staf agar menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

Seluruh warga SK Jambongan mengucapkan berbanyak-banyak ucapan terima kasih, sesungguhnya dengan kehadiran PPD berserta rombongan beliau dapat menyemarakan lagi semangat kami untuk terus menjayakan misi dan visi Kementerian Pelajaran Malaysia. Terima kasih daun keladi, lain hari sudilah kiranya datang lagi ke sekolah kami. Wasalam


03 Julai 2011

Larian Serentak 1Murid 1Sukan Peringkat SK Jambongan.




Alhamdulilah Syukur kepada hadrat Ilahi terlaksanalah sudah Program Larian 1S1M di Peringkat SK Jambongan. Program dimulakan dengan ucapan perutusan oleh Guru Besar En Omar Ali Momiran, kemudian diikuti sesi memanaskan badan senam robik dan sejurus selepas itu tepat jam 7.30 pagi Larian serentak 1M1S dilepaskan.

Kehadiran para kakitangan sekolah telah menambahkan lagi kemeriahan program tersebut. Manakala murid-murid yang hadir ialah seramai 60 orang dan selebihnya terdiri daripada ibu bapa serta belia.
Sepintas lalu antara matlamat program ini ialah memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas melalui aktiviti bersukan.

 

28 Jun 2011

Perlaksanaan 1 Murid 1 Sukan(1M1S)


Berdasarkan kepada dasar dan perancangan pihak kementerian telah mensasarkan 1 Murid 1 Sukan di semua sekolah-sekolah di Malaysia. Justeru demi menyahut cabaran tersebut seluruh sekolah akan mengadakan majlis sukan tersebut di sekolah masing-masing iaitu pada 2 julai 2011 ini.

Pada 2 Julai ini juga adalah merupakan satu detik bersejarah lagi berlaku di Malaysia apabila acara sukan ini berjalan secara serentak di seluruh negara iaitu bermula pada seawal pagi hari sabtu ini. Dan insyallah di peringkat SK Jambongan aktiviti ini akan dilaksanakan mengikut tentatif yang ditetapkan. Semoga segala perancangan yang dilaksanakan kelak akan beroleh kejayaan.

21 Mei 2011

Perutusan Hari Guru 2011


BismilLahirRahamanirRahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Para guru yang dirai dan dimuliakan sekalian,



1.Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengambil peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia juga bagi pihak kerajaan, rakyat, diri saya dan isteri untuk mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru. Hari ini merupakan hari kita meraikan serta memberi pengktirafan kepada mereka.

2.Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

3.Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.

4.Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

5.Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru. Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”.

6.Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik skim perkhidmatan Guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa:

7.Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesyen keguruan

di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru.

8.Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun. Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

9.Oleh yang demikian, Kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

10.Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

11.Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100% dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

12.Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan Kerajaan dalam memartabatkan profesyen keguruan, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Manakala, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

13.Khabar gembiranya Insyaallah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 hb Januari 2012.

Para guru yang dimuliakan sekalian,



14.Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesyen keguruan di negara ini. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang Pemimpin, Pentadbir, Doktor, Peguam, Akauntan, Jurutera, Ahli Sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.

Pujangga bermadah:

Guru umpama kandil yang terang menyala,

Suluh cahayanya penerang jalan,

Sepatah kata dijadikan pelajaran,

Segumpal pesan dijadikan pedoman,

Ilmu dicurah mengorak alam terkembang.


15.Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

01 Januari 2011

Selamat Tahun Baru 2011


SELAMAT DATANG TAHUN 2011, SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH, kepada seluruh warga SK Jambongan.

11 November 2010

Majlis Konvokesyen Prasekolah SK Jambongan 2010

10 hb Nov 2010 merupakan tarikh menggembirakan kepada anak-anak yang telah berkonvo. Tahniah dan syabas diucapkan. Majlis Konvokesyen pada kali ini telah dirasmikan oleh Yang Di Pertua PIBG SK Jambongan En Sharif Zakaria Sh Attar. SK Jambongan mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian beliau merasmikan majlis tersebut. Murid-murid yang berkonvo pada kali ini ialah seramai 12 orang dan yang selebihnya pada tahun hadapan.


Ucapan Perasmiaan oleh YDP PIBG En Sharif Zakaria Sh Attar


Penyampaian Sijil Konvo kepada Graduasi

Acara selingan bacaan dan hafazan surah lazim


Persembahan Adik Rozaidi Jarail


Album Kenangan Konvokesyen Prasekolah SK Jambongan 2010




06 November 2010

Sukan Tahunan SK Jambongan 2010

5 Nov 2010 SK Jambongan telah melaksanakan Temasya Sukan Tahunan 2010, iaitu Sukan Permainan. Terdapat dua kategori sukan dan permainan telah dilaksanakan, futsal dan bola baling 

Pertemuan Pasukan Hang Tuah vs Hang Kasturi

Pasukan Hang Kasturi

Pasukan Hang Tuah

Acara Bola Baling
Adik Roziana


Pertembungan antara Pasukan Hang Kasturi Vs Hang Jebat

10 Oktober 2010

Format baru UPSR, PMR

Format baru UPSR, PMR
2010/10/10

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan pelajar Malaysia sempena majlis makan malam bersama pelajar dan rakyat Malaysia di Sydney, malam tadi. Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran menyifatkan sekarang masa terbaik bagi 700,000 rakyat Malaysia, terutama profesional di luar negara pulang berbakti di tanah air, terutama memanfaatkan peluang diwujudkan oleh Pelan Transformasi Kerajaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Ujian pertama diperkenalkan mulai sesi persekolahan 2016. FORMAT baru Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diganti penilaian sekolah, akan diperkenalkan mulai sesi persekolahan 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rundingan meja bulat terakhir mengenai pelaksanaan UPSR dan PMR bersetuju UPSR dikekalkan tetapi diberi penambahbaikan, manakala PMR diganti penilaian sekolah.


“Sistem pendidikan ini ada putarannya. Kalau anak kita belajar sekarang, takkanlah tahun depan tiba-tiba (belajar) dengan sistem baru, dia akan menanggung beban, susah esok pada dia.

“Tapi kohort (kumpulan) yang baru mungkin akan masuk 2011 dan ujian pertama (diadakan) pada 2016. Pada waktu itu, kita akan adakan UPSR baru dan PMR dalam bentuk penilaian sekolah,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir lawatannya di bandar raya ini, semalam. Hari ini, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan berangkat ke Melbourne bagi menghadiri beberapa acara termasuk perasmian Dewan Malaysia Melbourne. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementerian.

Beliau berkata, antara perubahan dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik. “Bagi UPSR, maknanya walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, tapi bentuk dan formatnya agak berbeza. Ini dikatakan penambahbaikan yang kita akan lakukan.

“Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tetapi Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah,” katanya. Muhyiddin berkata, proses transformasi membabitkan penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR memerlukan tempoh enam tahun untuk disiapkan mengambil kira semua aspek dalam sistem pendidikan itu. “Saya fikir dalam tempoh seminggu dua ini apabila selesai dan laporan lengkap (diterima), kita akan maklumkan secara muktamad (proses penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR),” Sumber: bhnews@bharian.com.my










06 Oktober 2010

Sambutan Hari Raya SK Jambongan


Ucapan Salam Aidilfitri Guru Besar En Omar Ali
Murid-murid bersama biskut raya masing-masing

Adik Wan Shanizan Salam Raya

5 Okt 2010 Selasa SK Jambongan. Assalamulaikum Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin...SK Jambongan tidak ketinggalan mengadakan sambutan hari raya diperingkat sekolah, meskipun bulan syahwal sudah hampir melabuhkan tirainya. Upacara sambutan ini adalah dibawah kelolaan dan pengurusan dua buah unit panitia iaitu Panitia Bahasa Inggeris dan Panitian Matematik, iaitu cikgu M.Sidek M.Rauf dan cikgu Ahmad Jazdi Jafar. Sambutan ini boleh dikatakan agak meriah dengan pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti persembahan nyanyian karaoke lagu-lagu raya. Turut mengambil tempat dalam nyanyian karaoke lagu-lagu raya ialah Guru Besar sendiri iaitu cikgu Omar Ali diikuti oleh Penolong Kanan 1 Ustaz Jamil Haris dan persembahan daripada guru-guru. Sesungguhnya aktiviti seperti ini amat baik dan insyallah akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Diakhir sambutan ini semestinya ialah aktiviti menjamu selera dengan pelbagai hidangan yang enak-enak belaka. Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua.
Adik Tasya

10 September 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Seluruh Warga SK Jambongan Mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri
Semoga berbahagia

10 Ogos 2010

Kem Bestari Solat Fasa 1/2010 SKJ

Pada 21-22 Mei lepas SK Jambongan menerusi Panitia Pendidikan Islam telah melaksanakan Kem Bestari Solat Fasa 1 untuk sesi 2010. Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar tahun 1 hingga 4 telah menyertai kem ini. Secara keseluruhannya program ini telah mendapat sambutan yang menggalakan di kalangan para peserta.