Memaparkan catatan dengan label Arkib. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Arkib. Papar semua catatan

19 Ogos 2010

Ujian Percubaan UPSR Peringkat SK Jambongan 2010

Pada tarikh 24 Ogos hingga 26 Ogos 2010 SK Jambongan akan mengadakan ujian percubaan UPSR kepada calon-calon yang akan menduduki ujian tersebut menjelang bulan september ini. Adalah menjadi harapan pihak sekolah agar keputusan UPSR tahun ini akan menunjukan peningkatan dari tahun sebelum ini. Kepada murid-murid yang akan menduduki ujian percubaan tersebut belajarlah dengan tekun serta buatlah persiapan dengan rapi. Semoga berjaya.

15 Ogos 2010

Mohd Puad setuju beri kuasa polis tambahan kepada guru


BATU PAHAT – Cadangan oleh Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (Kongres), Jemale Paimen untuk memberikan kuasa polis tambahan kepada guru terutamanya guru disiplin dipersetujui tetapi kajian yang mendalam perlu dilakukan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi. Walau bagaimanapun, tindakan berkenaan perlu kajian mendalam sebelum diluluskan kerana pelaksanaannya memerlukan masa dan pihak kementerian tidak mahu sesuatu kejadian sebaliknya berlaku.

Menurutnya, pihak yang mencadangkan untuk memberikan kuasa polis tambahan kepada guru juga perlu menghantar satu memorandum berkaitan dengan permintaan itu.“Perkara tersebut sememangnya baik dan saya sendiri bersetuju tetapi kita perlu lihat kesannya terutamanya kepada guru kerana berkemungkinan ia akan menambah beban tugas guru yang sedia ada. “Guru disiplin berkenaan juga perlu di beri jaminan keselamatan terutamanya ketika di luar kawasan sekolah jika mahu di beri kuasa terbabit kerana guru berkenaan hanya berkuasa di dalam sekolah sahaja,” katanya ketika melawat mangsa ribut di Minyak Beku, semalam.

        Puad berkata, jika guru diberi kuasa berkenaan kebaikannya memang banyak seperti pelajar akan lebih takut untuk melakukan kesalahan di dalam sekolah seperti bertindak balas melakukan kerosakan kepada barangan milik guru termasuklah membakar dan sebagainya. Katanya, tetapi perkara ini perlu dikaji dan pertimbangan yang sewajarnya akan dilakukan supaya dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan masalah disiplin di kalangan pelajar.

“Bagaimanapun, bukan guru sahaja perlu membendung masalah ini, peranan ibu bapa dan masyarakat juga penting untuk mengatasi masalah pelajar yang terlibat dengan salah laku terutamanya jika berada di luar kawasan sekolah," katanya.

Sinar Harian: 14 Ogos 2010

Percepat pengeluaran Garis Panduan Peraturan Sekolah

Utusan Malaysia Online: 11 Ogos 2010



KUALA LUMPUR 11 Ogos — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) hari ini menggesa Kementerian Pelajaran mempercepatkan pengeluaran Garis Panduan Peraturan Sekolah yang baru bagi melindungi guru berikutan masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing.

Setiausaha Agongnya, Lok Yim Pheng berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, kesatuan guru, para akademik dan ibubapa pada 2007, namun, masih belum menerima maklum balas mengenainya.

"Garis Panduan Peraturan Sekolah telah dibincangkan lama dulu, tetapi sehingga kini, masih belum siap dan kami masih lagi menunggu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi menangani masalah disiplin pelajar yang kian meruncing, Lok berkata pihaknya berpendapat lebih ramai guru lelaki diperlukan dan jawatan Ketua Guru Disiplin di setiap sekolah, dijadikan sebagai jawatan baru untuk kenaikan pangkat.

"Bagi melayakkan diri, setiap guru dengan kelayakan DG44 boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tersebut bagi sekolah menengah dan DG32 bagi sekolah rendah,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai persediaan, beliau berkata mereka yang ditawarkan ke jawatan itu perlu menghadiri latihan intensif dalam aspek undang-undang dan cara menangani masalah disiplin sebelum mula bertugas.

Lok juga berkata pihaknya mencadangkan agar kuasa merotan pelajar diberikan semula kepada guru bagi mengawal pelajar yang mempunyai masalah disiplin kronik.

"Syarat boleh diletakkan, tetapi kuasa merotan perlu dipulangkan semula bagi memudahkan kawalan terhadap segelintir pelajar “tegar” yang kerap menimbulkan masalah di sekolah,” katanya.

Beliau berkata perkara itu penting diberikan perhatian untuk melindungi golongan pendidik berdasarkan tindakan “berani” segelintir pelajar pada mutakhir ini yang mencetuskan kebimbangan.

"Sebilangan pelajar kadangkala bertindak terlalu agresif sehingga mencederakan guru, khasnya guru wanita.

"Minggu lepas, seorang guru diserang oleh seorang pelajar yang bertindak agresif di Sarawak,” katanya. — Bernama
Gambar-gambar SK Jambongan sekitar 2007-2010


Pemandangan 2008


SK Jambongan 2009


Bangunan Tahap 1


Bangunan Pentadbiran dan Tahap 2

Surau


Bangunan Asrama


Bangunan Prasekolah dan Tahun 4


Rumah Guru


Rumah Guru

Map Pulau Jambongan - SK Jambonga(Sumber GE 2007)


Panorama SK Jambongan

Jeti Kg Hujung Pulau Jambongan

Blok Rumah Baru SK Jambongan 2010

Sunset View


Golden Hour


Sunrise View


Pengangkutan Utama Bot


Pergerakan guru-guru dengan menggunakan bot

14 Ogos 2010

Kelebihan Solat Sunat Terawih

Disunting oleh Sharif Putra



Antara kelebihan yang akan dinikmati bagi mereka yang menunaikan solat sunat terawih ialah seperti berikut.

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas
Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh
21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut
23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

Tema Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 2010

Dipetik dari © IBNISMAIL.WORDPRESS.CO

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




Salam sejahtera buat semua pengunjung, semoga anda sekeluarga sihat wafiat hendaknya. Alhamdulillah segala puji-pujian hanya layak bagi Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-NYA kita dapat mengecapi satu kehidupan yang harmoni, aman makmur dan sejahtera hari ini walaupun negara kita mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti melayu, cina, india dan lain-lain serta mempunyai pelbagai budaya dan agama.

Keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi dan nikmati pada hari ini adalah hasil usaha gigih pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu. Oleh itu, kita sebagai generasi baru hendaklah sedaya upaya mempertahankan kemerdekaan negara ini.

Tanpa kita sedari, kini kita sudah pun hampir ke bulan ogos iaitu bulan kemerdekaan tanahair yang tercinta. Seperti biasa apabila tibanya bulan ogos, satu tema dicipta setiap tahun bagi Sambutan Hari Kemerdekaan sesuai dengan matlamat dan halatuju negara.

Sehubungan dengan itu, tema hari Kemerdekaan ke-53 pada tahun ini ialah “1Malaysia Menjana Transformasi”. Menurut Pak Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata intipati yang terkandung dalam Gagasan 1Malaysia akan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk program dan aktiviti sepanjang tempoh sambutan mulai 1 Ogos hingga 16 Sept ini.

Sambutan bulan kemerdekaan akan dimulakan dengan pelancarannya di Stadium Utama, Kanggar Perlis dan berakhir dengan Sambutan Hari Kemerdekaan bermula pada 1 ogos dan berakhir dengan acara Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di kota Kinabalu pada 16 september setiap tahun.

Pelbagai program dan isian sepanjang tempoh sambutan tersebut akan menumpukan kepada kesejahteraan rakyat di bawah Gagasan 1Malaysia dan tidak melibatkan terlalu banyak ucapan oleh pemimpin.

Justeru itu, kempen mengibar jalur gemilang telah di adakan sepanjang bulan kemerdekaan ini yang melibatkan pemilik kedai, pemilik bangunan dan juga sekolah.

Di harap dengan pelaksaan program dan kempen sepanjang bulan kemerdekaan nanti dapat meningkatkan kesedaran dan semangat patriotik terutama bagi golongan remaja dan belia di dalam memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya kerana mereka adalah pewaris negara ini.

Wallahu a’lam.



13 Ogos 2010

Tugas-tugas Guru

PERATURAN TETAP GURU

Kehadiran Bertugas:

1. Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/81 yang bertarikh 12 September 1981 menyebut bahawa semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kakitangan sekolah dan para pelajar dikehendaki berada di sekolah sekurang-kurangnya lima minit sebelum sekolah bermula. Bagaimanapun, guru bertugas harian perlu hadir di sekolah kira-kira pukul 7.00 pagi.

2. Adalah menjadi tanggungjawab para guru untuk mengamalkan ketepatan masa itu sepanjang waktu bertugas di sekolah, semasa datang dan balik dari sekolah, ketika memasuki bilik darjah untuk mengajar dan masa menjalankan sesuatu kegiatan di luar bilik darjah.

3. Ketepatan masa juga bermakna seseorang guru hendaklah mengikut jadual pengajaran dan tidak dibenarkan meninggalkan kelasnya atau pun kawasan sekolah.

4. Peraturan ketepatan masa dikenakan kepada semua guru, kakitangan dan para pelajar.

Kepatuhan Tugas:

1. Semua guru dan kakitangan hendaklah menandatangani buku kedatangan sebaik sahaja tiba di sekolah dengan mencatatkan nama, masa sampai dan menurunkan tanda tangan.

2. Guru dan kakitangan tidak dibenar meninggalkan kawasan sekolah dengan tidak mendapat keizinan Guru Besar terlebih dahulu.

3. Mereka yang datang lewat hendaklah berjumpa dengan Guru Besar dengan memberi sebab musabab kelewatan itu.

4. Sekiranya tidak dapat menghadirkan diri di sekolah kerana kecemasan atau jatuh sakit dan kemalangan, mereka perlu menghubungi pihak sekolah. Mereka juga dikehendaki mengemukakan sijil sakit kepada Guru Besar apabila kembali bertugas semula.

5. Guru-guru tidak dibenarkan meninggalkan bilik darjah semasa mengajar kecuali dengan mendapat kebenaran daripada Guru Besar terlebih dahulu.

6. Kehadiran semua guru adalah wajib semasa kegiatan dan upacara rasmi sekolah seperti Hari Sukan Tahunan, Hari Penyampaian Hadiah, Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru untuk mengawasi para pelajar, melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan di samping memberi sumbangan bakti dan bantuan yang diperlukan bagi menjayakan upacara tersebut.

7. Para guru yang telah ditetapkan untuk mengawasi kegiatan ko-kurikulum, mesti menghadirkan diri. Sebarang kesulitan yang berbangkit disebabkan oleh ketiadaan guru pengawas adalah tanggungjawab guru itu sendiri.

Tugas Akademik Guru:

1. Guru hendaklah menunjukkan sikap profesional dan budaya kerja yang bermutu tinggi.

2. Kerja rumah hendaklah diberikan kepada pelajar berdasarkan garis panduan yang diberikan oleh Guru Besar atau guru kanan masing-masing. Semua kerja rumah hendaklah diperiksa dengan teliti.

3. Ketua jabatan atau guru kanan mata pelajaran diberi kuasa untuk menyemak dan menentukan bahawa buku rampaian, buku kerja dan lain-lain latihan diperiksa dengan penuh teliti.

4. Pemeriksaan buku tidak boleh dilakukan semasa mengajar di dalam kelas kecuali guru itu mengawasi kerja pelajar di meja pelajar itu sendiri.

5. Guru yang ditugaskan sebagai guru ganti hendaklah mengisi waktu itu dengan pelajaran yang difikirkan perlu dan ini merupakan juga tugas rasmi guru itu. Pengajaran itu mesti diisikan dengan kerja-kerja yang memberi faedah kepada pelajar.

6. Biasanya guru mempunyai waktu untuk mengajar sebagaimana yang ditetapkan dalam jadual waktu masing-masing. Waktu tidak mengajar, terluang/rehat di sekolah adalah dikira masa bekerja. Guru Besar boleh mengarahkan guru-guru menggunakan masa itu untuk menggantikan guru yang tidak hadir.

7. Mereka perlu membuat persediaan mengajar seperti membaca buku tambahan, menulis buku ringkasan mengajar, menyediakan alat bantuan mengajar dan memeriksa buku latihan pelajar.

8. Mereka juga boleh mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah. Mereka juga boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dan lain-lain tugas yang difikirkan perlu atau diarahkan oleh pihak sekolah.

Buku Ringkasan Mengajar:

1. Kementerian Pendidikan telah menetapkan peraturan mengenai pengisian Buku Rekod Mengajar. Peraturan ini hendaklah dipatuhi dan dilaksanakan dengan sepenuhnya.

2. Dalam Buku Rekod Mengajar itu mesti mengandungi salinan jadual waktu persendirian termasuk analisisnya, salinan sukatan pelajaran, salinan kertas soalan peperiksaan dan keputusan peperiksaan bagi tiap-tiap kelas yang diajar oleh guru itu.

3. Pada tiap-tiap hari hujung minggu, Buku Rekod Mengajar yang telah siap diisi untuk minggu berikutnya hendaklah diserahkan kepada Guru Besar. Buku Rekod Mengajar adalah menjadi hak milik sekolah dan perlu diserahkan ke pejabat apabila guru itu bertukar, bercuti panjang dan juga pada akhir tahun sekiranya Guru Besar memerlukan agar dia berbuat demikian.


Perhubungan Guru Dengan Pelajar:

1. Guru perlu mempunyai hubungan mesra dengan semua pelajar dan sentiasa bermuka manis. Mereka perlu memahami masalah pelajar.

2. Disiplin pelajar adalah menjadi tanggungjawab semua guru. Tindakan segera perlulah diambil terhadap sebarang pelanggaran disiplin yang dilakukan oleh pelajar. Kes-kes pelanggaran disiplin yang serius hendaklah dilaporkan kepada Guru Besar atau guru disiplin.

3. Tiap-tiap guru adalah bertanggungjawab untuk memelihara dan mengekalkan disiplin. Kesalahan yang berat sahaja hendaklah dilaporkan kepada Guru Besar untuk mendapat keputusan bagi pelaksanaan yang berkesan.

4. Perkara-perkara tatatertib yang dianggap berat adalah seperti menganggotai pertubuhan haram, membawa senjata merbahaya dengan tujuan jahat, memukul guru, mengancam keselamatan orang lain serta melanggar peraturan sekolah. Pelajar juga dilarang menulis kepada akhbar tanpa memberitahu pihak sekolah, merosakkan harta sendiri, guru, pelajar, dan sekolah, mencuri, menghisap rokok dan mengambil dadah, berjudi, meminum minuman keras dalam kawasan sekolah, membantah hukuman guru, bersifat bongkak dan menghina guru atau Guru Besar.

5. Guru yang mengajar dalam kelas hendaklah mengawal disiplin pelajar-pelajarnya.

6. Para guru hendaklah menunjukkan teladan, sikap dan perwatakan yang sesuai untuk dihormati dan dipandang tinggi oleh pelajar.

7. Jika terdapat pelajarnya yang sakit atau ditimpa kemalangan, guru tersebut hendaklah melaporkannya kepada guru bertugas harian atau penolong kanan dengan segera.

Pakaian:

1. Guru hendaklah kelihatan kemas dengan memakai pakaian yang sesuai semasa bertugas di sekolah.

2. Mereka tidak dibenarkan memakai selipar dan baju T walaupun pada waktu petang semasa berada di sekolah.

3. Pakaian formal mesti dipakai semasa upacara rasmi sekolah.

Potongan Rambut

1. Potongan rambut tidak boleh melebihi kolar baju bagi guru lelaki. Rambut perlu diurus dan kelihatan kemas.


Pelawat:

1. Jangan benarkan pelawat termasuk jurujual berjumpa dengan pelajar di dalam bilik darjah atau makmal.

2. Pelawat atau jurujual hanya boleh berjumpa dengan guru sekiranya mereka mendapat kebenaran daripada Guru Besar terlebih dulu.

3. Perbincangan antara pelajar dan guru dengan pelawat atau jurujual hanya boleh dibuat di dalam bilik guru sahaja.

Kenyataan Akhbar:

1. Guru adalah dilarang daripada membuat kenyataan akhbar walaupun bertindak atas nama Guru Besar atau pihak sekolah.

Surat Rasmi:

1. Semua surat rasmi yang hendak dihantar keluar dari sekolah sama ada dari guru atau dari persatuan dan kelas hendaklah dikirim melalui Guru Besar.

Lawatan:

1. Sebarang lawatan yang dilakukan oleh persatuan dan kelab hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Guru Besar dan Jabatan Pendidikan Negeri.

2. Untuk lawatan ke luar negeri, borang permohonan hendaklah dikirim ke Jabatan Pendidikan Negeri melalui Guru Besar. Surat itu mesti dikirim sekurang-kurangnya lima minggu sebelum lawatan dilakukan.

Kutipan Wang:

1. Guru penasihat yang dilantik untuk mengawas perjalanan persatuan dan kelab perlu mengawasi hal ini.

2. Mereka perlu menentukan bahawa wang yang dipungut itu tidak disalahgunakan oleh persatuan dan kelab.

3. Pembukaan akaun bank adalah perlu jika wang yang berkenaan itu dianggap besar jumlahnya.


TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB GURU KELAS

Bidang Tugas:

1. Merekod dan mengemaskini butiran peribadi pelajar ke dalam buku jadual kedatangan, buku rekod mengajar, kad 001, kad 002 dan buku kemasukan sekolah.

2. Buku jadual kedatangan para pelajar hendaklah ditanda pada waktu yang pertama pada setiap hari belajar.

3. Memastikan pelajar membawa surat daripada ibu bapa penjaga atau surat doktor sekiranya mereka tidak dapat menghadirkan diri di sekolah.

4. Bagi pelajar yang tidak hadir selama tiga hari berturut-turut dengan tiada memberi penjelasan dan sebab yang munasabah, guru darjah hendaklah mengirimkan surat amaran ponteng sekolah kepada penjaganya dengan satu salinan ke pejabat sekolah.

5. Sekiranya pelajar tidak hadir selama sebulan, namanya dikeluarkan dari buku jadual kedatangan. Kes-kes ini hendaklah dirujukkan kepada PK HEM terlebih dahulu.

6. Menjalankan pengurusan bilik darjah seperti pemilihan ketua darjah mengikut suara ramai dalam kelas, membuat giliran bertugas, giliran kebersihan, alat tulis, perhiasan kelas, kerusi meja berada dalam keadaan teratur dan menguruskan pertukaran pelajar.

7. Memungut yuran-yuran khas, yuran peperiksaan, sukan dan permainan dan mengeluarkan resit kepada pelajar dan merekodkannya ke dalam buku jadual kedatangan dan buku yuran.

8. Menyerahkan kira-kira pungutan yuran pada masa yang ditetapkan pihak sekolah.

9. Menguruskan pengagihan dan pemulangan Skim Pinjaman Buku Teks kepada pelajar dan memungut buku daripada pelajar yang hendak bertukar ke sekolah lain.

10. Membantu Guru Besar dalam pengurusan biasiswa, mengirim surat-surat jemputan kepada ibu bapa, sijil berhenti sekolah dan surat akuan.

11. Mengisi butiran semua ujian dengan lengkap untuk dikaji dan dianalisis.

12. Mengambil, menyalin dan menyemak jadual waktu kelas masing-masing dan memberitahu pelajar.

13. Bertanggungjawab terhadap disiplin pelajar dalam kelasnya dan menanam semangat rajin, tekun, dedikasi, berusaha dan kesedaran sivik.

14. Melaporkan kes-kes yang tidak dapat diselesaikan oleh guru kepada guru PK HEM seperti ketidakhadiran, ponteng yang berulang, kesulitan memungut yuran dan masalah disiplin lain.

15. Merekodkan butiran peribadi yang lengkap mengenai kemasukan pelajar baru dan mereka yang berhenti dalam Jadual Kedatangan, Buku Rekod Mengajar dan Buku Daftar Kemasukan Pelajar.

16. Bagi kelas-kelas peperiksaan adalah penting baginya untuk mengisi borang masuk peperiksaan. Mereka juga perlu memungut yuran peperiksaan dan membantu menyusun kerusi meja.

17. Mengisi butiran kemajuan akademik pelajar ke dalam Buku Kemajuan di samping menyediakan tabung markah atau mark sheet.

18. Bertanggungjawab terhadap keselamatan perabot dan kebersihan kelasnya.

19. Menyediakan senarai tugas bagi pelajar dalam kelasnya untuk tugas pembersihan kelas pada tiap-tiap hari persekolahan.

20. Berada di samping pelajarnya semasa pelajar beratur di kaki lima kelas dan pada masa perhimpunan hari biasa.

21. Memastikan papan kenyataan kelas ditampalkan dengan makalah-makalah, maklumat dan berita-berita yang positif, membina dan terkini.

22. Dalam tiap-tiap peperiksaan sekolah, guru mata pelajaran harus memberi markah kepada guru-guru kelas untuk meringankan beban tugas guru.


TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB GURU DISIPLIN

Bidang Tugas:

1. Pilih pengawas pada setiap hujung tahun untuk bertugas pada tahun berikutnya.

2. Menentukan pemilihan pengawas adalah berdasarkan pencapaian dalam bidang akademik, kebolehan dan kemampuan pelajar dalam bidang sukan dan permainan.

3. Memastikan perlantikan para pengawas adalah berdasarkan pengalaman, sahsiah, daya kepimpinan dengan mengambil kira pandangan dan sokongan para guru. Pemilihan akhir dilakukan oleh para pelajar dengan cara undi, jikalau didapati sesuai dan boleh dilaksanakan setelah dipersetujui oleh pihak guru.

4. Pemilihan calon dilakukan oleh guru-guru sendiri dan tidak dicalonkan oleh pelajar.

5. Menentukan Ketua dan Penolong Ketua Pengawas dilantik oleh guru penasihat lembaga pengawas dengan nasihat guru-guru lain.

6. Mengaturkan mesyuarat lembaga pengawas yang diadakan dari semasa ke semasa di sekolah.

7. Mengawasi disiplin dan akhlak para pelajar di sekolah sepanjang hari persekolahan.

8. Menerima laporan daripada para pengawas dan mengambil segala langkah dan tindakan yang sesuai.

9. Menentukan segala peraturan dan undang-undang sekolah sentiasa dipatuhi oleh para pelajar sekolah.

10. Mempamerkan peraturan dan undang-undang sekolah di papan-papan kenyataan dan di dalam bilik darjah.

11. Membantu Guru Besar dalam mengesan dan mengesahkan kesalahan-kesalahan besar yang dilakukan oleh pelajar yang boleh membawa kepada penggantungan sementara atau pembuangan sekolah.

12. Merekodkan segala kesalahan, hukuman dan denda yang dijatuhkan kepada pelajar di sekolahnya.

13. Berhubung rapat dengan guru bimbingan / kaunseling untuk menyelesaikan masalah pelajar.

14. Bekerjasama dengan guru-guru bertugas harian atau mingguan untuk menguruskan kawalan terhadap pelajar pada hari perhimpunan, upacara dan majlis-majlis yang diadakan oleh pihak sekolah. Menguruskan pertandingan kebersihan bilik darjah pada tiap-tiap minggu dan mengumumkan kelas yang paling kotor.

09 Ogos 2010

Rombongan Lawatan dari PPD Beluran

Pada tanggal 5 Ogos 2010 SK Jambongan telah dikunjungi oleh rombongan pelawat dari Pejabat Pelajaran Daerah Beluran antaranya ialah En Mathew Kiun@ Geoffry(Penolong Pegawai PPD), En Abd Manaf Hj Bakar(Penyelia Kanan PPD), En Salman Abdullah(Penyelia UPD), En Gabriel Bali(Penyelia UPD), dan En Sharif Roslan Sh Ameeril(Penyelia UPD). Kehadiran mereka telah disambut oleh Guru Besar En Omar Ali Momiran, Penolong Kanan 1 Ustaz Jamil Haris Abd Karim, Penolong Kanan HEM En Martin Embing dan guru-guru.

Rombongan Pelawat PPD Beluran

Antara intipati lawatan tersebut ialah membuat pemeriksaan dan penyeliaan terhadap beberapa aspek utama antaranya ialah aspek pembangunan fizikal sekolah, yang mencakupi pembangunan, penyelenggaran bangunan, prasekolah, persekitaran sekolah, asrama dan pelbagai lagi. Warga SK Jambongan amat menghargai kehadiran rombongan pelawat dari PPD Beluran, dengan kehadiran yang sebegini akan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pihak sekolah dan PPD. " Terima kasih daun keladi, sudi kiranya datanglah lagi"

                                   

                                         


                                      

08 Ogos 2010

Kem Motivasi UPSR 2010

Pada tanggal 30 Julai hingga 1 Ogos 2010, SK Jambongan dengan kerjasama pihak PIBG SKJ telah menganjurkan satu program Kem Motivasi UPSR 2010. Program ini memberi fokus kepada pemantapan di kalangan murid-murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Namum demikian para pelajar tahun 5,4 dan tahun 3 turut juga diberi peluang untuk mengikut program ini. Alhamdulillah dengan semangat kerjasama di kalangan guru-guru, staf  dan murid-murid kem ini telah mencapai matlamat dan objektifnya.

Rentetan Bergambar Kem Motivasi UPSR 2010 





















JU-Beluran

Guru Besar SKJ


Ceramah oleh Ust Jamil Haris


LDK


Bacaan Doa oleh Imam Mardin


Senam Robik Cik Masriah


JU Daerah Beluran


JU Daerah Beluran

Cikgu Shuaily Bakar

Cikgu Martin Embing