25 Ogos 2010

Formula Bijak Sifir kaedah mengira secara cepat, mudah

Oleh Hazwan Faisal Mohamad-Berita Harian 2010/08/25

KAEDAH bijak sifir tidak memaksa murid menghafal, sebaliknya pendekatan itu membimbing mereka kepada teknik mudah menguasai sifir dan kebiasaannya masing-masing boleh berbuat demikian dalam tempoh dua hari. Formula yang dibangunkan selama tujuh tahun itu kata penulis buku Bijak Sifir, Muhamad Tajudin Mustafa, dilengkapi kaedah berkesan menguasai sifir satu hingga 12 secara sistematik.

Beliau yang juga graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkata proses menguasai sifir itu dilaksanakan menerusi sesi bengkel yang menyasarkan murid Tahun Satu hingga Enam selain mempelawa mereka berminat menyertainya.Katanya, setakat ini, peserta bengkel memberi maklum balas positif dan mereka hanya menguasai sifir menerusi teknik pembelajaran berkesan. Kaedah Bijak Sifir itu membantu mereka memahami konsep pengiraan secara mudah dan cepat.

“Syarat asas peserta bengkel adalah dalam kalangan murid sekurang-kurangnya mengenali nombor dan mahir dalam operasi penambahan,” katanya. ”Sejak dilancarkan dua bulan lalu, tujuh sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Coronation Park, SK Sumpitan, SK Temelong, SK Convent Aulong, SK St Francis, SK Banggol Belimbing dan SK Parit dari Perak menyertai program berkenaan,” katanya kepada Berita Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Muhamad Tajudin, berkata idea menghasilkan formula itu tercetus berikutan fenomena pelajar lemah dalam mata pelajaran matematik sering dikaitkan dengan kegagalan mereka menguasai sifir dengan baik. Beliau berkata, kaedah konvensional yang dilaksanakan tidak berkesan hingga mendatangkan tekanan kepada mereka. Katanya, kaedah sedia ada juga memaksa murid menyanyi dan menjatuhkan hukuman jika gagal berbuat demikian. Keterangan lanjut teknik menguasai sifir boleh layar laman web, www.bijaksifir.com.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan