15 Ogos 2010

Mohd Puad setuju beri kuasa polis tambahan kepada guru


BATU PAHAT – Cadangan oleh Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (Kongres), Jemale Paimen untuk memberikan kuasa polis tambahan kepada guru terutamanya guru disiplin dipersetujui tetapi kajian yang mendalam perlu dilakukan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi. Walau bagaimanapun, tindakan berkenaan perlu kajian mendalam sebelum diluluskan kerana pelaksanaannya memerlukan masa dan pihak kementerian tidak mahu sesuatu kejadian sebaliknya berlaku.

Menurutnya, pihak yang mencadangkan untuk memberikan kuasa polis tambahan kepada guru juga perlu menghantar satu memorandum berkaitan dengan permintaan itu.“Perkara tersebut sememangnya baik dan saya sendiri bersetuju tetapi kita perlu lihat kesannya terutamanya kepada guru kerana berkemungkinan ia akan menambah beban tugas guru yang sedia ada. “Guru disiplin berkenaan juga perlu di beri jaminan keselamatan terutamanya ketika di luar kawasan sekolah jika mahu di beri kuasa terbabit kerana guru berkenaan hanya berkuasa di dalam sekolah sahaja,” katanya ketika melawat mangsa ribut di Minyak Beku, semalam.

        Puad berkata, jika guru diberi kuasa berkenaan kebaikannya memang banyak seperti pelajar akan lebih takut untuk melakukan kesalahan di dalam sekolah seperti bertindak balas melakukan kerosakan kepada barangan milik guru termasuklah membakar dan sebagainya. Katanya, tetapi perkara ini perlu dikaji dan pertimbangan yang sewajarnya akan dilakukan supaya dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan masalah disiplin di kalangan pelajar.

“Bagaimanapun, bukan guru sahaja perlu membendung masalah ini, peranan ibu bapa dan masyarakat juga penting untuk mengatasi masalah pelajar yang terlibat dengan salah laku terutamanya jika berada di luar kawasan sekolah," katanya.

Sinar Harian: 14 Ogos 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan