11 Ogos 2010

Penjenamaan Kerjaya Guru

Penjenamaan kerjaya guru
Oleh Basir Zahrom
2010/08/10

            SPP perlu pantau urusan perkhidmatan pastikan kebajikan pendidik terbela
KAEDAH pengambilan guru perlu dikaji semula serta dipelbagaikan bagi mengelak haluan kerjaya terlalu panjang mengakibatkan profesion itu dilihat tidak menarik, kata Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad

             Beliau berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) perlu memberi perhatian mengenai isu itu kerana ia adalah antara beberapa perkara penting yang harus mendapat penyelesaian segera daripada suruhanjaya itu selaras dengan usaha pemerkasaannya selepas 36 tahun ditubuhkan.

           Mohamed Sabri berkata, pihaknya menyokong pendekatan sedia ada iaitu pengambilan saluran kedua, Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang berkhidmat lebih satu tahun diberi peluang temu duga untuk dipilih mengikuti latihan di Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum diserap sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST). “KGMMB yakin ada dalam kalangan mereka layak dipilih menjadi guru berdasarkan komitmen dan minat sepanjang tempoh menjawat GSTT cuma mungkin perlu diberi Kursus Dalam Cuti untuk melengkapkan diri sebelum menjadi guru.
        “Kami menyokong cadangan supaya skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dibuat penjenamaan semula dengan mengambil kira laluan kerjaya lebih menarik kepada calon guru yang sudah menamatkan Latihan Perguruan di universiti tempatan dan IPG terus dilantik ke jawatan tetap PPP Siswazah DG41 tidak seperti sekarang yang melantik mereka sebagai GST DC41 terlebih dulu. “Laluan sekarang banyak birokrasi dan memperlihatkan proses menjadi guru itu penuh berliku menyebabkan profesion perguruan dilihat tidak menarik sedangkan profesion profesional seperti doktor, peguam tidak sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
           Bagi PPP yang menyambung pengajian dan dilantik ke gred jawatan baru, Mohamed Sabri berkata, seharusnya tidak perlu melalui proses temu duga sebaliknya terus dilantik ke jawatan tetap kerana masih dalam sistem pendidikan sedia ada kerana perubahan cuma berlaku pada gred jawatan sedangkan mereka masih kekal dengan tugas hakiki.
        Katanya, laluan kerjaya guru juga harus dikaji dan diubah kerana ia terlalu banyak sehingga melebihi 20 skim. Pihaknya mencadangkan satu skim bersepadu untuk laluan kerjaya guru diwujudkan sebagaimana skim perkhidmatan tentera, polis dan pegawai perubatan. “SPP juga perlu memainkan peranan dalam menyedarkan ketua jabatan supaya lebih peka mempercepatkan urusan perkhidmatan dan tatatertib bagi menjamin standard dan kebajikan guru terpelihara selain menjadi badan penyelaras memilih calon perguruan yang bakal mengikuti kursus perguruan di universiti awam dan IPG.
      “Hal ini penting supaya perkara ketidakseragaman di peringkat pemilihan, latihan dan penempatan selesai kerana terdapat kes opsyen ditawarkan tidak selaras dengan ijazah dimiliki calon seterusnya merugikan negara dari segi penggunaan modal insan berasaskan kelayakan calon terpilih mengikuti kursus perguruan. “KGMMB mencadangkan semua Institusi yang melatih guru perlu diperkasakan dengan membuka lebih ruang sebagai tempat memberi latihan kepada warga pendidik dalam perkhidmatan terutama Universiti Pendidikan Sultan Idris dan IPG,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan