28 Mac 2011

SK Ulu Lubai Permata Dari Pedalaman Sarawak


Assalamulaikum dan Selamat Sejahtera sekalian, harapan agar semuanya dalam situasi yang luar biasa bagus. Kepada barisan pendidik dan warga kerja SK Jambongan " mekarlah engkau dalam berjuang". Kepada anak-anak murid yang dikasihi sekalian, meskipun kita nun jauh di kepulauan tetapi itu tidak bermaksud kita dalam ruang lingkup kepulauan dari segi mentalitinya. Marilah kita menyemai dan mencontohi nilai dan erti kecemerlangan  seperti yang yang menjadi amalan di SK Ulu Lubai. SK Ulu Lubai umpama permata yang jauh nun di pedalaman Sarawak.



SK Ulu Lubai terletak 55 KM dari daerah Limbang dan merupakan sekolah yang terjauh dalam daerah Limbang. Sekolah ini mula mengorak langkah ke arah kecemerlangan apabila terbukti mencapai keputusan 100 peratus dalam peperiksaan UPSR 1992. Dan paling bersejarah apabila seorang muridnya mendapat keputusan 5A dalam UPSR pada tahun 2005. Pencapaian ini merupakan rekod sejak sekolah  ini ditubuhkan 41 tahun lepas. Keputusan peperiksaan sekolah ini meningkat dari tahun ke tahun, iaitu pada tahun 2008, 2009 dan 2010 sekolah ini mencapai 100 peratus.




Apakah rahsia di sebalik kejayaan sekolah ini sehinggakan mampu mengatasi percapaian sekolah-sekolah di bandar. Dari kata-kata yang diutarakan oleh Guru Besar sekolah ini iaitu Cikgu Jaul Anak Bunyau, sebahagian dari usaha mereka untuk menaikan semangat belajar di kalangan anak-anak murid mereka ialah dengan memperbanyakan bahan-bahan tulisan, papan tanda dan papan kenyataan yang mengandungi kata-kata motivasi. Selain itu juga komitmen yang amat bagus dari kalangan ibu bapa juga turut banyak membantu pihak sekolah mendisiplinkan anak-anak murid. Setiap malam murid-murid akan mengulang kaji pelajaran di rumah panjang dengan di awasi oleh guru dan ibu bapa secara bergilir-gilir. Cara ini amat berkesan dan hasilnya mereka berjaya memperolehi keputusan yang amat bagus.



Sebagai langkah untuk memastikan anak-anak murid dapat belajar dengan teratur ketika berada di rumah, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengatur jadual pembelajaran di rumah. Cara ini memastikan setiap murid akan mengulangkaji pelajaran mereka sekurang-kurangnya sejam pada setiap malam. Dan salah satu rahsia penting lagi ialah kebijksanaan pentadbiran sekolah ini yang turut menyumbang kepada kemenjadian murid-muridnya serta tingginya semangat serta motivasi di kalangan barisan stafnya.


Perlu juga kita mengetahui tentang rekod pencapaian sekolah ini iaitu  pernah mendapat pengiktirafan sebagai sekolah terbaik dalam daerah Limbang sebanyak 46 kali, peringkat negeri 14 kali dan peringkat kebangsaan sebanyak 5 kali. Dan paling membanggakan ialah sekolah ini pernah menjuarai Anugerah Commanwelth Education Good Practice Awards dan pernah menjadi calon Unesco Education Of International Best Practices 2010. Terkini sekolah ini merupakan sekolah pertama pedalaman diberi pengiktirafan sebagai sekolah SBT 2011.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan